comscore
Tumpuan :
Nasional

Program anak kita: MOF, KPM berganding bahu atasi keciciran pembelajaran

Foto hiasan

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pendidikan (KPM) berganding bahu melaksanakan program pemulihan pembelajaran bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Program Anak Kita itu bertujuan menangani masalah keciciran di negara ini dengan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, selain syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ia seiring pendekatan keseluruhan negara atau “whole-of-nation” yang diiltizamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI iaitu meningkatkan taraf ekonomi rakyat.

Menerusi kenyataan bersama, kementerian berkenaan memaklumkan program itu memberi tumpuan kepada meningkatkan literasi dan numerasi dalam kalangan pelajar sekolah rendah, mempertingkatkan kadar kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan mengintegrasikan semula pelajar yang tercicir kembali ke dalam sistem pendidikan.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, inisiatif itu sebahagian daripada komitmen yang lebih meluas untuk meningkatkan tahap pendidikan di Malaysia.

Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek

“Ini dilaksanakan menerusi enam hala tuju utama termasuk penyelarasan semula sistem prasekolah dan intervensi kurikulum,” menurut Fadhlina.

Bagi Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pendidikan ialah asas kepada pembangunan modal insan yang menjadi aset kepada kemakmuran ekonomi negara.

Jelasnya, memiliki kelayakan SPM adalah kritikal untuk memperkasakan belia dan memastikan penyertaan produktif dalam tenaga kerja.

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

“Pendidikan yang baik dapat membina generasi yang mempunyai keperibadian baik dan kemahiran intelektual yang amat diperlukan untuk memacu ekonomi yang mampan seperti yang digariskan dalam rangka kerja Ekonomi MADANI,” menurut Datuk Seri Amir Hamzah.

Tambahnya, melalui peningkatan pendidikan, rakyat mampu keluar dari kemelut kemiskinan sekali gus mengangkat taraf ekonomi keluarga bagi jangka masa panjang.

Program dengan kerjasama Yayasan Hasanah itu akan diluncurkan 27 September ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini