comscore
Tumpuan :
Nasional

Program pemeliharaan alam sekitar perlu pemantauan berterusan

Oleh Fazli Ahmad

TEMERLOH: Pemantauan berterusan terhadap semua program pemuliharaan alam sekitar penting bagi memastikan kejayaan setiap usaha dilakukan.

 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, tindakan itu perlu dilakukan secara serius dan bukan sekadar dengan penganjuran majlis pelancaran.

Titah baginda, kerajaan pusat dan negeri bertanggungjawab memantau setiap program membabitkan pemeliharaan alam sekitar dan habitat haiwan agar matlamat pelaksanaannya berhasil.

“Titah saya ini perlu diambil secara serius bukan hanya sekadar hadir lancar, makan dan balik kita mahu melihat program sebegini berjaya.” titah baginda ketika merasmikan Program Eco-Schools Malaysia dan Peta Hala Tuju Usaha Sama Penghijauan Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 (UN GEP2030) di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh di sini, hari ini.

Turut berangkat Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana merangkap Penaung Diraja Program Eco-Schools Pahang dan dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying.

Al-Sultan Abdullah juga bertitah usaha memulihkan ekosistem alam semula jadi serta memelihara habitat haiwan perlu mendapat sokongan semua pihak termasuk sektor swasta.

Titah baginda, walaupun usaha itu mengambil masa dan bukan berjaya sekelip mata tetapi hasilnya akan dapat dirasai beberapa tahun akan datang.

“Perlu ada pemantauan oleh kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dan mudah-mudahan program ini tidak akan gagal, wajib berjaya kerana gagal bukan pilihan.” titah baginda.

Loading...
Terkini