comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Program SARA perluas kategori penerima, tambah jumlah bantuan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan memperluaskan kategori penerima dan menambah bantuan sekali ganda bagi sekeluarga dalam program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam usaha membantu melegakan taraf ekonomi rakyat.

Kementerian mengumumkan kategori penerima SARA kini membabitkan golongan miskin dan miskin tegar berbanding hanya miskin tegar sebelum ini.

Dengan penambahbaikan itu, program SARA dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding 210,000 penerima membabitkan perbelanjaan RM130 juta tahun lalu.

Kadar bantuan untuk isi rumah SARA ditingkatkan kepada RM1,200 berbanding RM600 tahun lalu manakala kadar bantuan untuk golongan bujang kekal RM600.

“Ini membabitkan peningkatan peruntukan lebih lima kali ganda berbanding tahun lalu.

“Di bawah program ini, penerima yang layak boleh membeli barang keperluan asas terpilih dengan menggunakan myKAD di kedai runcit berdaftar.

“Kelayakan untuk menerima bantuan SARA adalah berasaskan status kategori miskin dan miskin tegar dalam pangkalan data e-Kasih iaitu data rujukan untuk kementerian dan agensi kerajaan,” katanya.

Pelaksanaan SARA tahun ini akan bermula pada 22 Januari depan bagi penerima dari Semenanjung manakala penyaluran bantuan tunai untuk penerima dari Sabah, Sarawak dan Labuan bermula 19 Februari depan.

Program yang bakal dilaksana secara berperingkat itu menyasarkan untuk mengangkat taraf ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan yang menjadi teras kepada kerangka Ekonomi MADANI.

“Mengambil kira maklum balas penerima, penggunaan kredit program SARA turut diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan,” katanya dalam kenyataan.

“Bagi penerima program SARA di Semenanjung, bantuan akan disalurkan secara bulanan iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan serta RM50 sebulan untuk golongan bujang.

“Sementara itu, bagi penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan, bantuan SARA akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM300 untuk golongan bujang pada 19 Februari depan dan 12 Ogos 2024 (Isnin) melalui pengkreditan ke akaun bank/secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara.

Mengambil kira sambutan program SARA yang menggalakkan tahun lalu, kerajaan juga meluaskan rangkaian rakan runcit membabitkan pasar raya dan kedai yang mengambil bahagian kepada 515 premis setakat 17 Januari 2024 berbanding 424, tahun lalu.

Kementerian Kewangan juga menasihatkan penerima SARA agar sentiasa berwaspada dengan pautan internet yang tidak sahih pihak tidak bertanggungjawab bagi mengelak penipuan.

Kenyataan itu juga memetik kenyataan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai berkata penambahbaikan program SARA itu adalah satu langkah awal untuk menangani kesenjangan kekayaan serta membina sebuah masyarakat yang inklusif seperti didambakan dalam kerangka Ekonomi MADANI.

Maklumat lanjut mengenai program SARA itu boleh diperolehi di pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my mulai 4 petang, 19 Januari 2024 dan maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk melalui pautan https://www.mykasih.com.my mulai 22 Januari 2024

Loading...
Terkini