comscore
Tumpuan :
Nasional

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI akan dianjurkan bulan depan

PUTRAJAYA: Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) akan menganjurkan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI pada 8 hingga 10 Disember ini.

Program yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bakal berlangsung di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Penganjuran program itu bertujuan menyebar luas dan mempromosikan dasar serta insiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat selain meningkatkan kesedaran umum serta kefahaman terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan.

Dalam satu kenyataan, Sekretariat Setahun Bersama Kerajaan MADANI memaklumkan, program itu juga adalah untuk membina kepercayaan serta keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.

“Program ini turut membabitkan kerjasama strategik pelbagai kementerian dan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta pemegang taruh,” katanya

Menurut kenyataan itu lagi, program terbabit memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan MADANI, perkhidmatan ‘touchpoint’ rakyat dan inisiatif kesejahteraan rakyat.

Katanya, ketiga-tiga komponen itu adalah ikhtiar kerajaan dalam memastikan kepentingan rakyat diutamakan selari dengan nilai Malaysia MADANI.

“Antara tarikan sepanjang tiga hari program ialah penyampaian perkhidmatan secara langsung kepada rakyat, sesi lihat urus kementerian bersama rakyat, jualan mega MADANI dan lain-lain lagi.

“Rakyat juga berpeluang untuk melihat pencapaian kerajaan melalui pameran pencapaian semua kementerian berserta perancangan jangka masa panjang kerajaan,” katanya.

Justeru, orang ramai dijemput hadir memeriahkan program berkenaan bermula jam 9 pagi hingga 10 malam, 8 hingga 10 Disember ini.

Loading...
Terkini