comscore
Tumpuan :
Nasional

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI wadah rakyat fahami halatuju pentadbiran negara

Majlis perasmian penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Disember 2023

KUALA LUMPUR: Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI akan menjadi wadah untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan, serta membina kepercayaan dan keyakinan antara Kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang bertindak sebagai urus setia bersama, program itu turut membabitkan kerjasama strategik pelbagai Kementerian dan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta para pemegang taruh.

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang dijadualkan pada 8 hingga 10 Disember 2023 di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur diharapkan dapat mempromosikan dasar-dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat.

Penganjuran program ini memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan MADANI, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.

Ketiga-tiga komponen ini adalah ikhtiar Kerajaan dalam memastikan kepentingan rakyat diutamakan selari dengan nilai-nilai Malaysia MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan Ihsan.

Antara tarikan sepanjang tiga hari program ialah penyampaian perkhidmatan secara langsung kepada rakyat, sesi libat urus Kementerian-kementerian bersama rakyat, Jualan Mega MADANI dan pengunjung juga berpeluang untuk melihat pencapaian Kerajaan melalui pameran pencapaian semua Kementerian berserta perancangan jangka masa panjang Kerajaan.

Majlis perasmian penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Disember 2023 dan akan turut dihadiri oleh kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan.

Orang ramai dijemput untuk bersama-sama hadir memeriahkan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI pada 8 hingga 10 Disember 2023 bermula 9.00 pagi hingga 10.00 malam.

Loading...
Terkini