comscore
Tumpuan :
Nasional

Program SULUNG Diperluas Ke 20 Universiti Awam Tahun Depan

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, melancarkan Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia (SULUNG) dan Penyampaian Surat Tawaran Program Penajaan KPT di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), hari ini.

BATU PAHAT: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memperluaskan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) ke 20 universiti awam (UA), dengan sasaran 200 pelajar, tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata pengambilan fasa pertama program berkenaan baru sahaja bermula pada bulan ini.

“Pada fasa ini, lapan UA perintis terbabit iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

“Seramai 76 orang pelajar daripada 115,477 permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melalui UPU Online, terpilih ditawarkan sebagai Siswa SULUNG,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia (SULUNG) dan Penyampaian Surat Tawaran Program Penajaan KPT di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), hari ini.

Program SULUNG bertujuan membantu anak sulung dalam keluarga B40 melanjutkan pengajian ke universiti.

Pelajar terpilih bukan sahaja diberi laluan khusus ke UA, malah turut ditawarkan biasiswa, elaun bulanan, asrama dan pementoran sehingga pelajar mendapat pekerjaan.

Program SULUNG diharap dapat mengubah kehidupan keluarga pelajar dan menjadi contoh kepada adik-beradik lain kerana pelajar hanya perlu melengkapkan diri memasuki universiti dan fokus sepenuhnya terhadap pelajaran.

Noraini berkata, KPT juga sedang mengusahakan untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan dan dana daripada pihak luar bagi menjamin kelestarian program berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, KPT memperuntukkan RM150 juta pada tahun ini bagi penajaan pendidikan kepada 30,314 pelajar.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini