Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) diseru untuk mengadakan rundingan bersama YTL Communications Sdn Bhd berhubung pelaksanaan kontrak projek 1BestariNet.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan, syor itu antara penambahbaikan yang dikemukakan hasil dapatan siasatan terhadap projek berkenaan selepas mendapati tiada unsur jenayah dalam pelaksanaan tender tersebut.
“Timbalan Pendakwa Raya (TPR) telah mengarahkan SPRM untuk menyerahkan laporan penuh hasil dapatan siasatan kepada KPM berserta syor-syor penambahbaikan.
“Antara langkah utama yang disyorkan ialah agar KPM kembali ke meja perundingan bersama YTL Communications Sdn Bhd untuk mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang isu berbangkit daripada kontrak tender perkhidmatan yang telah dipersetujui,” menurut kenyataan itu.
SPRM pada masa sama mengesahkan telah menerima arahan daripada TPR bahawa tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak berhubung pelaksanaan kontrak projek 1BestariNet di bawah KPM.
Keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan siasatan SPRM yang dijalankan sejak September lalu, yang mendapati tiada unsur jenayah dalam pelaksanaan tender terbabit.
“Sebagai langkah susulan, siasatan telah dijalankan oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM yang memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus serta isu berkaitan tuntutan kewangan dalam kontrak antara YTL Communications Sdn Bhd dan KPM,” menurut kenyataan itu.
Pada 4 September lalu, dilaporkan bahawa SPRM menyerbu pejabat YTL Communications di Kuala Lumpur serta sebuah pejabat kerajaan sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap projek 1BestariNet.
Sumber SPRM dipetik sebagai berkata, siasatan tertumpu kepada dakwaan membabitkan butiran palsu berkaitan pembayaran RM2.7 bilion dan unsur jenayah lain di bawah Akta SPRM 2009.
Projek 1BestariNet yang dimulakan oleh KPM pada 2011 bertujuan menyediakan akses internet berkelajuan tinggi ke sekolah-sekolah serta memperkenalkan sistem pembelajaran maya.
Projek itu pada awalnya dirancang untuk tempoh 15 tahun dengan peruntukan sebanyak RM4.07 bilion, namun kemudian dipendekkan kepada tujuh tahun enam bulan.
YTL Communications hanya menyelesaikan dua fasa pertama projek berkenaan yang berakhir pada Jun 2019.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.