comscore
Tumpuan :
Nasional

Projek 1BestariNet: Terlalu awal buat kesimpulan, SPRM percepat siasatan – Azam Baki

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berpandangan adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan berhubung siasatan terhadap YTL Communications Sdn Bhd (YTL) membabitkan tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan (KPM) bernilai RM4.07 bilion.

Ini kerana, menurutnya, siasatan berkenaan melibatkan pertikaian teknikal berkaitan penyampaian projek antara KPM dan YTL.

“SPRM akan berusaha untuk mempercepatkan siasatan ini sebaik mungkin,” katanya merujuk kepada kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh YTL mengenai siasatan yang sedang dijalankan terhadap ‘1BestariNet’ oleh SPRM.

Semalam, YTL Power International Bhd menjelaskan pihaknya telah diberikan projek 1Bestarinet melalui proses tender terbuka dan menepis tuduhan salah laku.

Syarikat utiliti elektrik itu memaklumkan, tender tersebut diberikan apabila bidaan pihaknya adalah yang paling mematuhi teknikal dan efektif dari segi kos berbanding kalangan 18 pembida, menunjukkan keupayaan dan merit syarikat.

YTL Power menjelaskan, anak syarikat 60 peratus miliknya, YTL Communications Sdn Bhd akan terus memberikan kerjasama penuh kepada SPRM yang menjalankan siasatan berkaitan perkara itu.

Mengulas lanjut, Azam berkata, SPRM komited untuk menjalankan siasatan secara profesional dan adil bagi semua pihak yang terlibat.

Dalam menjalankan siasatan itu, katanya, SPRM akan mematuhi proses yang sewajarnya.

“Memandangkan siasatan masih berlangsung, kami menyeru semua pihak untuk tidak membuat spekulasi.

“Kami juga akan mempertimbangkan pembelaan yang dikemukakan oleh YTL,” katanya.

SPRM sebelum ini memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL pada 2011.

Pada 2011, kerajaan memulakan projek 1BestariNet dengan matlamat menyediakan akses internet berkelajuan tinggi kepada 10,000 sekolah di negara ini dan melaksanakan Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE).

KPM menganugerahkan kontrak selama 15 tahun bernilai RM4.1 bilion kepada YTL bagi pelaksanaan projek itu.

Loading...
Terkini