comscore
Tumpuan :
Nasional

Projek ECRL, LRT3, MRT3 diteruskan – Anthony Loke

​​​​​​​PUTRAJAYA : Menteri Pengangkutan, Anthony Loke  memberi jaminan projek mega dan berskala besar dikendalikan kementerian itu akan diteruskan seperti biasa.

Ia membabitkan Projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

“Saya rasa kesemua projek berkenaan telah dimulakan dan tiada masalah untuk kita diteruskan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis ramah mesra bersama warga MOT di sini .

Berhubung projek ECRL, Loke berkata, seperti dijanjikan ketika kempen pilihan raya lalu, projek mega itu tidak akan ditangguhkan lagi.

“Projek ini sudah melalui banyak proses rundingan dan kajian semula termasuk perubahan laluan dan stesen. Kita tidak mahu sebarang bentuk penangguhan lagi ke atas projek mega ini.

“Projek itu sudah pun dimulakan dan ia berjalan dengan baik walaupun ada ketikanya kita tidak berapa setuju dalam beberapa perkara dan keputusan yang dibuat,” katanya.

Ketika ini, kemajuan keseluruhan projek ECRL kira-kira 35.9 peratus dan dijangka beroperasi pada Januari 2027.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu dianggarkan bernilai RM50.27 bilion membabitkan jajaran empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Menurut Loke, penambahbaikan pengangkutan awam, digitalisasi perkhidmatan dan keselamatan jalan raya antara agenda utama Kementerian Pengangkutan.

Beliau berharap penambahan tren dapat dibuat bagi mengurangkan kesesakan pengangkutan awam.

Namun katanya, hal itu bergantung kepada perbincangan dengan pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi melihat kekangan teknikal yang ada sekiranya frekuensi tren ditambah terutamanya ketika waktu puncak.

“Semalam saya sendiri telah menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) bertujuan untuk memahami keadaan sebenar masalah yang dihadapi pengguna, saya perlu berbincang dengan operator dalam minggu ini bagi mendapatkan penjelasan perancangan mereka.

Terdahulu, Loke mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya di bangunan Kementerian Pengangkutan pada 8.33 pagi sebagai tanda memulakan tugas secara rasmi.

Loading...
Terkini