comscore
Tumpuan :
Nasional

Projek ECRL Terengganu capai kemajuan 80.28 peratus

FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu sudah mencapai kemajuan sebanyak 80.28 peratus setakat bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, ia menjadikan Terengganu sebagai negeri yang mencatat peratusan kemajuan projek tertinggi di antara empat negeri yang terbabit dengan projek ECRL yang turut membabitkan Kelantan, Pahang dan Selangor.

Beliau berkata, proses pengambilan tanah untuk laluan utama ECRL di Terengganu sudah selesai sepenuhnya, manakala kerja-kerja pemasangan landasan pula dijangka siap hujung tahun ini.

Katanya, sebahagian besar kerja-kerja infrastruktur di Terengganu sudah diselesaikan dan baki projek kira-kira 20 peratus di Terengganu membabitkan kerja-kerja elektrifikasi, sistem dan sebagainya.

“Secara keseluruhannya, kemajuan projek ECRL yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor mencapai 62.4 peratus setakat Februari lalu dan 80.28 peratus di Terengganu.

“Ini menggambarkan projek ini akan siap tidak lama lagi, kita hanya berbaki 33 bulan untuk siap keseluruhannya sehingga pada Disember 2026 bagi jajaran dari Kota Bharu, Kelantan sehingga ke Gombak, Selangor.

“Hasil kerjasama yang baik daripada semua pihak membolehkan projek ini berjalan dengan lancar dan dengan kemajuan yang dicapai setakat ini, kita sebenarnya berada pada landasan yang baik untuk siap sepenuhnya pada Disember 2026,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama ECRL di sini malam tadi. Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Nor Hamzah.

Datuk Seri Darwis berkata, jajaran ECRL di Terengganu membabitkan pembinaan enam stesen dengan Stesen Jerteh di Besut, Bandar Permaisuri di Setiu, Kuala Terengganu dan Kemasik di Kemaman akan berfungsi sebagai stesen penumpang, manakala Stesen Dungun dan Chukai di Kemaman pula untuk tujuan penumpang serta kargo.

Beliau berkata, jajaran ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor dijangka siap mengikut jadual iaitu pada Disember 2026 dan akan mula beroperasi pada Januari 2027 manakala jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap pada Disember 2027.
Katanya, pembinaan projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu membabitkan perbelanjaan RM50.27 bilion.

“Pengoperasian ECRL akan menjimatkan masa perjalanan dan dapat menghubungkan Kuala Terengganu dengan Terminal Bersepadu Gombak dalam masa tiga jam,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini