comscore
Tumpuan :
Nasional

Projek kontroversi 1BestariNet: Siasatan SPRM berdasarkan aduan, laporan diterima

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap YTL Communications Sdn Bhd (YTL) membabitkan tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan (KPM) bernilai RM4.07 bilion adalah berdasarkan aduan dan hasil dua laporan yang diterima baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan, pihaknya menerima aduan melibatkan beberapa dakwaan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang melanggar peruntukan undang-undang termasuk Akta SPRM 2009.

Jelasnya, siasatan terhadap YTL juga berdasarkan maklumat menerusi Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang baharu diterima pada bulan lalu, selain Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Hasil dua laporan ini mendedahkan terdapat beberapa kelemahan antaranya seperti aspek capaian liputan jalur lebar yang rendah, kelemahan teknologi infrastuktur, lokasi sekolah selain capaian jalur lebar yang tidak menyeluruh,” katanya sambil menambah siasatan adalah bersifat telus, adil dan profesional tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Menurut SPRM, terdapat maklumat awam dan aduan daripada pihak tertentu mengenai projek tersebut yang gagal memberikan capaian jalur lebar dengan kelajuan sebagaimana dikehendaki dalam membantu proses pembelajaran di sekolah yang lebih efisien.

Selain itu, ujarnya, berdasarkan maklumat diterima, tender perkhidmatan 1BestariNet pada asalnya dirancangkan untuk tempoh 15 tahun membabitkan jumlah RM4.07 bilion, namun dipendekkan kepada tujuh tahun enam bulan tanpa ada pengurangan dari segi nilai kontrak.

“Walaupun perkhidmatan yang diberikan tidak mencapai matlamat, difahamkan masih ada beberapa tuntutan yang dibuat oleh syarikat berkenaan kepada pihak kementerian terbabit yang memerlukan siasatan terperinci bagi mengesahkan perkara itu.

“Sehingga kini, siasatan mendapati kerajaan perlu menanggung RM176 juta yang dituntut oleh syarikat berkenaan namun maklumat tuntutan tersebut belum dapat disahkan oleh kerajaan selain kerugian sewaan pencawang telekomunikasi bagi tempoh 5 tahun sejak 2019 yang dianggarkan berjumlah RM10.8 juta,” katanya.

Justeru, SPRM menegaskan, tidak timbul isu mengapa siasatan dibuat setelah projek 1BestariNet ditamatkan pada 2019.

Ini kerana menjadi tanggungjawab suruhanjaya terbabit untuk menjalankan siasatan secara profesional apabila mendapat maklumat baharu khususnya yang melibatkan peruntukkan dana kerajaaan untuk pembangunan negara.

Sehubungan itu, SPRM berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu tersebut kerana isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa tidak boleh dikompromi.

Terdahulu, media melaporkan, SPRM telah memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet KPM yang dianugerahkan kepada YTL pada tahun 2011.

Menurut sumber, SPRM telah membuat penggeledahan ke atas pejabat kerajaan dan pejabat YTL yang terletak di Kuala Lumpur pada Rabu lalu, sekali gus menyita sejumlah dokumen.

“Siasatan menjurus kepada mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu melibatkan pembayaran lebih kurang RM2.7 bilion.

“Fokus siasatan SPRM juga adalah menjurus kepada elemen jenayah lain yang tertakluk di bawah Akta SPRM 2009,” kata sumber.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini