comscore
Tumpuan :
Nasional

Projek Ladang Solar Beri Manfaat

Lokasi Pelancaran Operasi Komersial Projek Solar Coara Marang di Jalan Felda Rantau Abang 1

MARANG: Projek ladang solar Coara Marang yang berkapasiti 116 Megawatt (MW) mampu membekalkan tenaga elektrik kepada kira-kira 55,000 isi rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu Dr Mamad Puteh berkata, projek penjanaan tenaga solar bernilai RM400 juta itu beroperasi sepenuhnya hari ini.

Beliau berkata, projek yang bermula pada Februari tahun lalu mengambil masa 14 bulan untuk disiapkan meliputi kawasan seluas 245 hektar.

“Ladang solar ini akan mencapai kecekapan pengeluaran tenaga maksimum sehingga 116 MW dengan anggaran penghantaran tenaga bersih sebanyak 230 gigawattjoule (GWj) setahun.

“Penghasilan tenaga ini akan membantu meningkatkan kemampanan alam sekitar dengan mengurangkan pelepasan sehingga 120,000 tan karbon dioksida setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Ladang Solar Coara Marang di Jalan Felda Rantau Abang 1 di sini hari ini.

Menurut Dr Mamad, projek ladang itu adalah antara ladang tenaga photovoltaic (PV) solar yang terbesar di Malaysia setakat ini.

Katanya, ia adalah projek ladang solar itu keempat di Terengganu selain tiga masing-masing di Pulau Kerengga, Marang, Paka di Dungun dan di Kemaman.

“Ini satu pelaburan yang menguntungkan pada Malaysia (kerana) kita tahu teknologi hijau ini untuk mengurangkan karbon.

“Sekarang ini, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) diberi tahu tadi (penggunaan solar) dalam 23 peratus dan dijangkakan pada tahun 2025, sebanyak 31 peratus akan menggunakan teknologi hijau.

“Skim ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Malaysia untuk mencapai paras 31 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025,” katanya. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini