comscore
Tumpuan :
Nasional

Projek LCS: Siasatan tidak didedah kepada umum, jamin keselamatan negara

Oleh Nur Ain Zulfah Yahya

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan isu kapal tempur pesisir (LCS) mengikut Akta Rahsia Rasmi, bagi menjaga nama negara.

Menurut Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, SPRM dan pihak berkenaan perlu memainkan peranan yang penting dalam memastikan keselamatan dan kerahsiaan negara terjaga.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim

“MCW memahami bahawa SPRM mesti menjalankan siasatan secara tertutup dengan mengutamakan keselamatan negara.”

“Namun, pada masa yang sama, MCW juga berharap agar SPRM dapat memberikan maklumat yang mencukupi kepada orang awam untuk menjaga kepercayaan dan memastikan transparansi dalam proses siasatan.

“Dengan melibatkan pihak berkepentingan dalam dialog tertutup, MCW yakin keselamatan negara tetap terjamin sambil memenuhi keperluan ketelusan dan keadilan,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Tambah beliau, MCW berpendapat isu LCS amat penting dan harus diselesaikan segera dengan lebih adil dan efektif memandangkan terdapat ramai lagi pesalah yang bakal didakwa.

“Kami dapat melihat komitmen jelas pihak SPRM yang telah berjaya membuat siasatan sehingga pendakwaan terhadap tertuduh pertama yang telah dibuat pada Ogos tahun lepas.”

“Malah pihak SPRM juga sering memberi penekanan bahawa siasatan kes ini masih dilaksanakan dan lebih ramai individu akan dibawa ke muka pengadilan.”

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan SPRM dan pihak bertanggunjawab yang lain untuk terus memberi kerjasama yang kukuh dalam memastikan proses siasatan dapat dijalankan dengan telus dan lebih cekap.

“Adalah amat penting untuk dipastikan semua agensi kerajaan melaksanakan langkah-langkah pencegahan rasuah yang berkesan dan melibatkan semua pihak yang berkaitan. MCW juga ingin mendesak agar pemantauan dan penilaian berkala bagi memastikan kesan positif dan keberkesanan kepada setiap langkah pencegahan dan tindakan yang diambil.”

Terdahulu, memetik laporan media mengatakan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, menyatakan bahawa kerajaan tidak sepatutnya bersembunyi di belakang Akta Rahsia Rasmi atau menggunakan alasan ‘keselamatan negara’ sekiranya penyalahgunaan kuasa atau rasuah dikesan.

Isu LCS menarik semula perhatian apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan Jumaat lalu bahawa Kementerian Kewangan telah menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek LCS iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), sebagai anak syarikat kepada Kementerian Kewangan (MOF).

Bagaimanapun, Mohamad berkata, pelaksanaan projek LCS tetap akan dipantau melalui Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC) yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak mempunyai pilihan, selain mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek LCS iaitu BNS supaya projek dapat diselesaikan.

Perdana Menteri berkata, ia berikutan kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek LCS.

Loading...
Terkini