comscore
Tumpuan :
Nasional

Projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah akan siap 2026

Oleh: Shuhadah Marzuki

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah  Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Wardieburn, Kuala Lumpur.

Projek yang menyediakan 7,374 unit rumah itu adalah inisiatif Kementerian Pertahanan bagi memberi peluang kepada anggota ATM, veteran ATM dan warga kerja awam di Kementerian Pertahanan (MINDEF), untuk memiliki kediaman yang selesa di Kuala Lumpur.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Kem Wardieburn, di sini pada 10.30 pagi disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia ATM, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Selain itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya, Datuk Zulhelmy Ithnain turut hadir.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan melawat tapak galeri dan menurunkan tandatangan di atas plak pada majlis perasmian itu.

Projek perumahan SASaR ATM Wardieburn dan Setapak akan melibatkan pembinaan 974 unit kediaman berkeluasan 1,400 dan 1,500 kaki persegi.

Ia juga selaras dengan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara, Konsep Malaysia MADANI, Kertas Putih Pertahanan serta Pelan Strategik Kementerian Pertahanan 2021-2025.

Loading...
Terkini