comscore
Tumpuan :
Nasional

Projek rintis Dasar Gaji Progresif dibuka kepada lima sektor

Pembinaan adalah antara lima sektor yang diluluskan oleh Kementerian Sumber Manusia bagi pelaksanaan projek rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) bermula bulan depan. – Foto hiasan.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pelaksanaan projek rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) yang bermula pada bulan depan dibuka kepada lima sektor, setakat ini.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan sektor terlibat ialah sektor pembinaan, pembuatan, perdagangan borong dan runcit termasuk pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal, sektor maklumat dan komunikasi serta aktiviti profesional, saintifik dan teknikal.

“DGP merupakan komitmen kerajaan bagi mereformasi pasaran buruh dengan matlamat untuk meningkatkan pendapatan pekerja selari dengan peningkatan produktiviti.”

“Pengenalan dasar baharu ini akan menjadi pelengkap kepada inisiatif gaji sedia ada iaitu Perintah Gaji Minimum dan Sistem Upah yang Dikaitkan dengan Produktiviti (Productivity Linked-Wage System – PLWS),” menurut kenyataan itu.

Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan projek rintis DGP mulai Jun hingga Ogos depan dengan peruntukan sejumlah RM50 juta melibatkan sebanyak 1,000 majikan.

Mengulas lanjut, KESUMA memberitahu syarikat yang berminat untuk menyertai DGP boleh mendaftar secara sukarela melalui Portal Dasar Gaji Progresif di https://gajiprogresif.gov.my mulai semalam.

Syarikat yang terpilih akan menerima insentif berjumlah maksimum RM200 sebulan bagi setiap pekerja untuk kumpulan peringkat
permulaan manakala maksimum RM300 sebulan bagi setiap pekerja untuk kumpulan bukan peringkat permulaan.

Pekerja peringkat permulaan merujuk pekerja yang berkhidmat dalam tahun pertama di syarikat dan jawatan tersebut.

Manakala pekerja bukan peringkat permulaan bermaksud pekerja yang telah mengisi jawatan di syarikat lebih dari setahun.

Jelas KESUMA, tuntutan insentif boleh dibuat oleh majikan mulai bulan depan.

“Kenaikan gaji perlu seiring dengan peningkatan tahap kemahiran dan keberhasilan pekerja.”

“Syarikat yang menyertai DGP perlu menyediakan dokumen yang mengesahkan bahawa pekerja telah menghadiri dan melengkapkan kursus dan latihan peningkatan kemahiran sekurang-kurangnya selama 21 jam (tiga hari),” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini