comscore
Tumpuan :
Nasional

Projek rintis diesel bersubsidi diperluas ke sembilan kenderaan barangan

Datuk Armizan Mohd Ali berkata KPDN akan memperluas Fasa II Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) kepada sembilan jenis kenderaan bagi sektor pengangkutan darat (barangan).

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

DENGKIL: Bermula esok, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluas Fasa II Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) kepada sembilan jenis kenderaan bagi sektor pengangkutan darat (barangan).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia membabitkan lori kargo am, lori tangki tepung, lori minuman botol dan lori tangki air.

Kenderaan lain yang tersenarai adalah lori ‘refrigerated’ (sejuk beku), panel van, lori luton atau kotak, ‘window van’ dan penggerak utama (prime mover).

“Kita berharap semua syarikat yang memiliki sembilan jenis kenderaan sektor pengangkutan darat (barangan) untuk mula melakukan permohonan esok supaya kita dapat memastikan menjelang 31 Mac, permohonan sudah dibuat dan menerima ‘Fleet Card’ dan boleh ‘roll out’ (melaksanakan) sepenuhnya pada 1 April,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kampung Fresh Market Sdn Bhd, di sini hari ini.

Permohonan boleh dibuat melalui Sistem MySubsidi Diesel KPDN di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/ mulai jam 9 pagi esok.

Antara syarat permohonan adalah syarikat mesti berdaftar di negara ini, kenderaan barangan adalah milik syarikat pemohon dan kenderaan barangan hendaklah mempunyai cukai jalan yang sah.

Menurut Armizan, permohonan akan diproses serta diluluskan selama dua hari, dan seterusnya syarikat minyak yang menjadi pilihan mereka akan mengeluarkan ‘Fleet Card’ dalam tempoh dua hingga empat minggu.

Mengulas lanjut, jelasnya, peluasan projek rintis itu susulan kelancaran fasa I projek rintis melibatkan enam syarikat perintis dalam sektor pengangkutan darat (barangan) yang dilaksanakan mulai 1 Februari lalu.

Katanya, mekanisme menggunakan ‘Fleet Card’ adalah antara usaha untuk beralih daripada kaedah manual ke teknologi digital dalam mengawal selia barang bersubsidi yang dipertanggungjawabkan di bawah KPDN.

Peluasan penggunaan ‘Fleet Card’ di bawah fasa II projek rintis berkenaan juga bertujuan menambah baik kaedah kawal selia dalam pemberian diesel bersubsidi kepada kenderaan yang layak supaya lebih telus, efisien dan mengelak ketirisan.

“Sebelum ini kawalan itu perlu dilakukan secara fizikal, dengan kekangan sumber manusia hanya pada kadar 2,200 (penguat kuasa KPDN). Dengan adanya penambahbaikan ini, kos seperti kawalan dan penguatkuasaan dapat kita optimumkan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya sedang melakukan sesi libat urus bersama beberapa kementerian termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan bagi meneliti keperluan peluasan projek terbabit kepada jenis kenderaan sektor pengangkutan darat (barangan) lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini