Tumpuan :
Nasional

Projek rintis noktah jenayah, Kompleks Kastam Forest City dilengkapi teknologi moden

GELANG PATAH: Kompleks pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang baharu di Forest City, di sini, dilengkapi dengan teknologi moden bertaraf antarabangsa seiring keperluan sebagai zon bebas cukai.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelaksanaan fasa pertama zon bebas cukai di Forest City akan bermula 15 November ini, manakala fasa kedua dijangka bermula pada suku pertama tahun depan.

Beliau berkata, penempatan kompleks kastam itu sebahagian daripada persediaan agenda bagi menjayakan peranan Forest City sebagai Zon Kewangan Khas (SFZ).

“Kompleks kastam ini adalah antara yang tercanggih dalam negara bagi memastikan kelancaran pergerakan keluar masuk ke Forest City.

“Ini adalah momentum yang kita hendak teruskan untuk Johor. Semasa pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri baru-baru ini, lapan daripada 10 permohonan yang dibuat diluluskan.

“Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan ke Forest City untuk mengumumkan pakej dan insentif untuk SFZ pada bulan depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Kompleks Kastam Diraja Malaysia Forest City, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han.

Sementara itu, Anis Rizana berkata, fasiliti berkenaan adalah yang pertama di negara ini, dilengkapi dengan mesin pengimbas canggih sekali gus memastikan operasi pemeriksaan serta penguatkuasaan diperkemaskan.

Beliau berkata, usaha berkenaan menjadi projek rintis bagi menoktahkan jenayah penyeludupan dan penyelewengan.

“Pendekatan itu diharapkan dapat meningkatkan keselamatan dan integriti sistem pengawasan serta memastikan aliran perdagangan lebih lancar dan teratur di negara ini.

“Kompleks ini juga ada ‘command centre’, pejabat pelabuhan, teknologi pengimbas muka dan teknologi terkini,” katanya.

Forest City diwartakan sebagai pulau bebas cukai pada September lalu sekali gus pulau bebas cukai kelima di negara ini, namun yang pertama boleh diakses menggunakan kenderaan darat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini