comscore
Tumpuan :
Nasional

Projek sedut pasir didakwa ancam keselamatan penduduk

Foto: NSTP

GURUN: Hampir 200 penduduk di Kampung Masjid Lama, Jeniang, dekat sini membantah projek menyedut pasir yang dilakukan di Sungai Muda berhampiran kampung itu yang didakwa mengancam keselamatan penduduk.

Penduduk mendakwa projek yang bermula awal Januari lepas itu turut berisiko memberi impak hakisan di lokasi Jambatan Jeniang yang terletak kira-kira 900 meter dari tapak projek berbanding 1,000 meter yang ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Seorang penduduk, Abdul Majid Sudin, 55, berkata dia kesal apabila aktiviti menyedut pasir masih dijalankan walaupun semakin hampir dengan tebing sungai dan jambatan yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) JPS.

Penduduk Kampung Masjid Lama, membuat sepanduk bagi membantah aktiviti menyedut pasir di Sungai Muda – Foto: NSTP

“Dalam jarak 1,000 meter dengan Jambatan Jeniang juga terdapat Masjid Safwan. Tanah perkuburan jarak 635 meter dan Masjid Tuan Guru Haji Sulong hanya 320 meter dari tapak kuari pasir, ia semakin dekat, ini sangat berisiko,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Abdul Majid turut mendakwa aktiviti tersebut turut menyebabkan keindahan sungai tercemar apabila air menjadi keruh dan sungai menjadi dalam, sekali gus berisiko kepada kanak-kanak yang sebelum ini kerap bermandi-manda di situ.

Beliau turut mendakwa projek tersebut menjejaskan ekosistem hidupan di sungai tersebut apabila beberapa spesies ikan tidak lagi kelihatan termasuk kelah.

Ahmd Nazori Abdul, 42, pula berkata selepas kejadian tanah runtuh di belakang rumahnya baru-baru ini, dia tidak dapat tidur lena kerana bimbang kejadian yang sama berulang.

“Runtuhan tebing itu berlaku waktu hujan lebat, rasa trauma, sampai sekarang runtuhan itu dibiarkan tanpa pagar, benteng atau tembok dan keadaan ini boleh mengancam keselamatan. Pihak syarikat yang terlibat projek itu pun tak mai jumpa kami,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) Kedah, Mohd Sobri Ramlee berkata beliau telah mengajukan isu tersebut kepada pihak berwajib termasuk JPS dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Saya mahu operasi pengambilan pasir ini dihentikan, jika tidak keadaan bertambah buruk dan hakisan semakin hampir dengan Jambatan Jeniang, kerana kita lihat tiada siapa dapat menghalang operasinya setakat ini,” katanya.

Mohd Sobri juga menambah, kekerapan lori pasir yang keluar masuk dari tapak kuari dan melalui jalan utama turut dilihat membimbangkan terutama apabila sesi persekolahan bermula tidak lama lagi. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini