comscore
Tumpuan :
Nasional

Projek SEGAR bantu murid fahami pembelajaran

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

KANGAR: Dalam membantu murid menguasai mata pelajaran Sains, Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Besar Selatan di sini mengambil pendekatan mengamalkan pembelajaran berasaskan projek.

Ia termasuk melalui Projek Selatan Green Garden (SEGAR) yang mana murid yang terlibat berpeluang menjalankan eksperimen dengan tanaman cili fertigasi dan secara tidak langsung mampu memberikan hasil.

Projek itu merupakan sebahagian daripada aktiviti Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam kelas yang dianjurkan pihak sekolah.

Sebagai permulaan, mereka mengusahakan 400 polibeg cili, yang bekalannya diperoleh dari Jabatan Pertanian Perlis.

Lebih menarik, ia diusahakan sepenuhnya oleh murid melalui bimbingan guru.

Guru Sains yang juga mentor projek SEGAR, Mastura Yahya berkata, secara keseluruhannya projek tanaman cili itu merangkumi silibus matapelajaran Sains dari tahun 1 hingga 6.

“Untuk Tahun 1, kita belajar tentang bahagian tumbuhan. Kita bawa mereka ke sini dan tunjukkan yang mana buah, batang, dahan dan pelbagai lagi. Dari situ, murid akan lebih memahami topik yang diajar selain lebih terdedah kepada persekitaran luar.”

“Bagi tahun 3 ke atas, mereka akan didedahkan dengan topik-topik lain seperti pembiakan tumuhan, Fotosintesis dan pengawetan makanan.” ujarnya kepada Buletin TV3.

Cili akan dipungut selepas tanaman itu mencecah usia 75 hari.
Selain dijual, murid turut menggunakan hasil tuaian berkenaan bagi tujuan pengawetan seperti pengeringan, pendidihan dan penjerukan.

Bagi murid SK Padang Besar Selatan, Muhd Helmi Mohd Norazli, pengalaman terlibat dengan projek berkenaan disifatkan menarik selain subjek yang diajar guru dapat dipelajari dengan mudah.

“Kami lebih faham macam ini sebab cikgu dapat berikan ilmu luar daripada buku.”

Ujar seorang lagi murid yang terlibat, Qasif Faqiha Yusreey, projek itu dilihatnya sebagai peluang untuk mendalami ilmu pertanian.

“Selalunya tengok kat dalam buku teks bahagian sains dalam pertanian menanam pokok jadi kami buat pertanian pokok ni. Jadi apa ilmu pertanian yang adik dah tahu? Pengawet pokok ni.”

Projek berkenaan juga dilihat cukup bermanfaat apabila tidak hanya melibatkan sukatan mata pelajaran Sains semata-mata.

Malah ia turut melibatkan mata pelajaran lain termasuk dalam bab jisim serta timbangan dan berat bagi Matematik, lukisan bagi pelajaran Seni, jual beli dalam Islam bagi mata pelajaran Pendidikan Islam serta karangan untuk subjek Bahasa Melayu.

Loading...
Terkini