comscore
Tumpuan :
Nasional

Projek Solar Danau Tok Uban dijangka siap Mac 2023

Foto: NSTP – Takiyuddin mendengar penjelasan berkaitan projek pengoperasian solar terapung di Danau Tok Uban, hari ini.

PASIR MAS: Projek Solar Terapung Danau Tok Uban yang bakal memberi manfaat kepada 40,000 buah rumah sudah mencapai lebih daripada 90 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2023.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata projek yang berkapasiti 100 megawatt itu adalah projek solar ikonik bertaraf dunia yang boleh dibanggakan seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, projek berkenaan juga dapat mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sebanyak 100,000 tan setiap tahun, iaitu satu nilai yang amat besar dan penting dalam usaha kita mengurangkan pelepasan karbon.

“Ia juga menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan seperti menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan serta memberi sumber pendapatan baharu kepada kerajaan negeri melalui bayaran pajakan dan lesen yang dikeluarkan.

“Selain itu, projek ini mewujudkan industri sampingan di dalam bidang solar sebagai pembekalan dan penyelenggaraan. Ia mewujudkan industri akuakultur selain pelancongan yang lebih teratur serta sistematik.

“Pembekalan tenaga bersumberkan solar terapung ini juga dibawa ke grid kebangsaan hasil kerjasama serta dokongan kuat daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya ketika ditemui selepas melawat persiapan akhir Projek Solar Terapung Danau Tok Uban, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cypark Resources Berhad.

Kos pelaburan sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi Projek Tenaga Solar Terapung yang diintegrasikan dengan industri akuakultur dan aktiviti pelancongan di Tasik Danau Tok Uban.

Negeri Kelantan dipilih sebagai lokasi projek oleh syarikat Cypark Resources Berhad menerusi kerjasama dengan Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM).

Takiyuddin berkata, kerajaan Malaysia amat komited dalam program peralihan tenaga bagi mengurangkan pelepasan karbon.

“Komitmen inidizahirkan melalui Dasar Tenaga Negara 2021-2040 yang dilancarkan pada 19 September 2022. Usaha kerajaan itu perlu disokong menerusi pembabitan berterusan syarikat swasta dalam memastikan komitmen mengurangkan pelepasan karbon dapat dicapai.

“Rakyat Kelantan harus berbangga dengan pencapaian ini dan memanfaatkan peluang yang ada khususnya di dalam bidang akuakultur dan pelancongan,” katanya.

Loading...
Terkini