comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Projek tebatan banjir RM7 Bilion tanpa tender teratur

FOTO : NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kelulusan projek tebatan banjir yang diluluskan  kerajaan terdahulu bernilai RM7 bilion tidak diteruskan dan akan diteliti semula.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana kelulusan diberikan tanpa proses tender secara teratur dan melalui rundingan terus.

“Saya minta hal tersebut tidak diteruskan dan diteliti semula supaya ada prinsip ketelusan dan juga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

“Jumlah ini bukan kecil, (kelulusan diberikan) atas alasan umpamanya membantu menyegerakan untuk langkah tebatan banjir tetapi ada masalah bila peraturan tidak dipatuhi dan ada upaya umpamanya untuk mencari kesempatan dan ini amat dikesalkan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai kanan Kementerian Kewangan (MOF) dan agensi-agensi di bawah MOF.

Pada pembentangan Bajet 2023, kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) hingga 2030 sebagai strategi jangka panjang menghadapi perubahan iklim di seluruh negara.

Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, sebahagian besar projek pada tahun depan akan dianugerahkan dengan anggaran perbelanjaan RM700 juta di bawah RTB.

Antara projek utama digerakkan adalah pelaksanaan projek Empangan Sabo bernilai RM562 juta di 46 lokasi seluruh negara bagi mengurangkan risiko banjir puing dan banjir lumpur seperti tragedi banjir di Baling, Kedah.

Selain itu, pembinaan kolam takungan dwifungsi bernilai hampir RM2 bilion membabitkan jajaran di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Rasau, Selangor sebagai strategi serampang dua mata mengatasi masalah banjir dan sebagai sumber penyimpanan bekalan air mentah.

Mengulas lanjut, Anwar menzahirkan penghargaan kepada pegawai kanan MOF yang turut tidak bersetuju dengan kelulusan berkenaan.

“Saya ucap terima kasih pegawai kanan kementerian kerana bersama (tidak setuju projek secara rundingan terus). Mereka juga tidak selari dengan maksud ini tetapi pada ketika itu mereka mengikut arahan,” katanya.

Terdahulu, Anwar tiba di Bangunan MOF di sini bagi memulakan tugas rasminya sebagai Menteri Kewangan.

Ketibaan beliau jam 7.57 pagi disambut pegawai kanan dan kakitangan kementerian.

Antaranya, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Johan Mahmood Merican; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), Datin Rashidah Mohd Sies.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; CEO Bursa Malaysia Bhd, Datuk Muhamad Umar Swift dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Awang Adek Hussin.

Perdana Menteri kemudian mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik permulaan tugas rasmi beliau sebelum mempengerusikan mesyuarat .

Loading...
Terkini