comscore
Tumpuan :
Nasional

Projek tebatan banjir, Selangor akan semak dengan MOF

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menyemak semula dengan Kementerian Kewangan (MOF) sama ada peruntukan RM4.7 bilion daripada Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan projek tebatan banjir sebelum ini turut dihentikan.

Ia susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan menerusi sidang media, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata semakan segera akan dilakukan kerana ada beberapa projek yang mendesak.

“Kita ingin tahu adakah ia (RM7 bilion yang dibatalkan itu) termasuk peruntukan RM4.7 bilion yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Kerajaan Selangor sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya kena semak semula sebab ada beberapa projek itu agak mendesak dan saya lebih cenderung supaya ia dilaksanakan.

“Sepatutnya pada Januari tahun depan, sudah mula (diserahkan) surat setuju terima (projek tebatan banjir Selangor),” katanya ringkas ketika ditemui di lobi Bangunan Annex, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Terdahulu, Anwar mengumumkan perkara itu pada sidang media pada hari pertama beliau memulakan tugas sebagai Menteri Kewangan hari ini.

Anwar dilaporkan berkata, ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini dan pegawai kementerian itu sudah diminta meneliti semula kelulusan diberikan bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan ditetapkan.

Loading...
Terkini