Tumpuan :
Nasional

Promosi budaya Malaysia, layanan baik mampu tingkat kehadiran pelancong Thailand ke Malaysia

Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Hamzah Hamdan menyertai forum yang dihadiri 39 wakil media dan MBI Perak yang dipengerusikan Pemangku Timbalan Presiden Persatuan Media Selatan Thailand, Tuan Daniya, di Songhkla.

Oleh: Kumaran Rajamoney

HATYAI: Thailand terus memperhebat promosi pelancongan kepada rakyat Malaysia, menerusi pelbagai tawaran produk dan perkhidmatan pada harga berpatutan.

Tidak hairanlah jika rakyat Malaysia menduduki tangga kedua tertinggi melawati lokasi pelancongan terkemuka di negara gajah putih itu.

Angka terkini dari Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) merekodkan negara itu menerima lebih 3.7 juta pelancong Malaysia dari 1 Januari hingga 30 September tahun ini dengan 49.33 peratus daripadanya masuk melalui Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao di Wilayah Songkhla.

Pun begitu, Malaysia dilihat perlu agresif dalam mempromosikan pelancongan kepada rakyat Thailand menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Timbalan Datuk Bandar Hatyai, Sumrit Boonrat berkata, kejayaan pelancongan di wilayah itu adalah dengan mengenalpasti minat dan keinginan terutamanya dalam menarik pelancong Malaysia.

Timbalan Datuk Bandar Hatyai, Sumrit Boonrat.

Pendekatan sama katanya boleh diaplikasikan Malaysia, kerana memiliki kelebihannya latar masyarakat pelbagai kaum.

“Rakyat Thailand cukup berminat untuk merasai makanan Malaysia yang mempunyai pengaruh dari masyarakat pelbagai kaum. Begitu juga lokasi tumpuan pelancongan yang memenuhi kehendak masyarakat Muslim dan bukan Muslim dari Thailand.”

“Tinggal lagi, pelancong Thailand mahu layanan baik terutamanya apabila dalam perjalanan. Seringkali kenderaan pelancongan kami dihentikan berkali-kali oleh pihak penguatkuasa. Ini melahirkan rasa kurang senang,” jelasnya.

Senator Wilayah Songkla, Chaiyong Maneerungsakul menjelaskan pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan dua hala dengan pihak berkuasa di Malaysia bagi mencari mekanisme pembangunan industri pelancongan yang memanfaatkan kedua-dua negara

“Masyarakat di Selatan Thailand terutamanya lebih gemar melancong di Malaysia kerana jaraknya lebih dekat berbanding Bangkok. Malah, secara demografi penduduknya mempunyai latar bangsa dan agama yang sama.”

“Malah, penguatkuasaan undang-undang yang ketat di Malaysia juga mewujudkan rasa selamat kepada pelancong Thailand. Tapi jangan sampai ketegasan itu sehingga menganggu pelancongan,” katanya dalam forum Majlis Muhibbah Media Perak dan Selatan Thailand.

Program bertujuan mempromosikan pelancongan kedua negara itu dianjurkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Hamzah Hamdan menyampaikan cenderahati kepada Senator Wilayah Songkla, Chaiyong Maneerungsakul.

Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Hamzah Hamdan menjelaskan input dari forum itu akan dimanfaatkan bagi mempromosi Ipoh kepada pelancong Thailand.

“Apa yang pasti mereka sangat berminat untuk melancong ke negara kita namun ada banyak perkara yang menyekat minat itu. Kita kan cuba untuk memperhalusi perkara ini.”

“Kita mungkin boleh lihat dari segi pakej-pakej menarik yang boleh ditawarkan. Kita akan lakukan analisa menyeluruh atasi segala kelompongan yang ada,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai forum yang dihadiri 39 wakil media dan MBI dari negeri Perak, yang diadakan di Songhkla.

Perbincangan itu turut merangkumi kerjasama dua hala MBI-Hatyai City Municipality melibatkan perkongsian pengalaman, dan pelancongan kedua-dua bandaraya itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini