comscore
Tumpuan :
Nasional

Promosi ‘Mawla Amin’, mudir madrasah dipantau sejak 4 bulan lalu

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.- Foto: NSTP

BANGI: Gerakan seorang mudir madrasah yang didakwa secara aktif mempromosikan ‘Mawla Amin’ sejak empat bulan lalu, sudah dipantau kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pada mulanya tiada sebarang kemusykilan dikesan dengan gerakan berkenaan namun sejak akhir-akhir ini terdapat kelainan yang ditonjolkan oleh individu warganegara Maghribi itu.

“Sebab itulah kebimbangan mula timbul, kita harapkan masyarakat Islam khususnya supaya tidak terjerumus, sekiranya ajaran ini benar-benar menyeleweng daripada ajaran Islam.

“Kita harapkan masyarakat dapat merujuk terus kepada Jabatan Mufti untuk mendapatkan status ajaran berkenaan,” katanya selepas merasmikan Pusat Audiometrik Bergerak yang disumbangkan oleh Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Yayasan Pelangi Malaysia (YAPEL), di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki didakwa mengutip dana awam secara tidak sah, selain cuba mewujudkan penempatan dinamakan ‘Kerajaan 9’ di Melaka konon sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Mohd Na’im menerusi kenyataan sebelum ini memaklumkan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi agama untuk kepentingan diri mahupun kumpulan tertentu.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menjauhkan diri daripada sikap taksub terhadap individu yang mendakwa berada dalam jalur keturunan Nabi Muhammad SAW.

Isu ini turut menerima reaksi daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bahawa individu terbabit sering keluar masuk Malaysia dengan menggunakan pas lawatan sosial, dan berada di negara ini selama 90 hari.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada pihaknya sudah mendapatkan jumlah pengikut ‘Mawla Amin’ itu, Mohd Na’im berkata, buat masa ini belum ada perincian mengenainya.

Bagaimanapun, beliau berkata kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dilakukan bagi memantau pergerakan individu berkenaan. .

“Saya belum lagi dapat jumlah yang sebenar (pengikut) selain, daripada pihak polis, JAKIM juga bekerjasama dengan pihak agama Islam negeri-negeri untuk mengenalpasti mereka yang terlibat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 

Loading...
Terkini