Tumpuan :
Nasional

Proses bedah siasat empat mangsa maut kemalangan di Putrajaya masih berjalan

PUTRAJAYA: Proses bedah siasat empat mangsa yang maut dalam kemalangan berhampiran pusat komersil di sini, masih berjalan di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya.

Malah, ahli keluarga dan waris bagi keempat-empat mangsa juga mula tiba di Jabatan Forensik bagi urusan menuntut jenazah, bermula kira-kira 3 petang tadi.

Difahamkan, proses berkenaan dilakukan secara berperingkat.

Setakat ini, belum ada jenazah mangsa yang dibawa keluar dan dituntut keluarga.

Dalam kejadian 12.10 tengah malam tadi, sebuah kereta Perodua Viva yang dinaiki masing-masing dua lelaki dan wanita dipercayai terbabas dan melanggar penghadang jalan.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Muhammad Danial Mohd Nuzi, 24; Nurulhuda Ramli, 41; Amizan Sapiie, 27; dan Nizasuhana Ujang, 28.

Terdahulu, polis mengesahkan empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman dilaporkan berkata, kemalangan membabitkan Perodua Viva yang dipandu dari arah Kajang hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar penghadang jalan berhampiran susur masuk pusat komersil berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini