comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Proses pengesahan sijil halal perlu dipercepatkan – TPM

Oleh Fahiz Ariff

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan proses pengesahan sijil halal dipercepatkan dan dikeluarkan dalam tempoh yang sewajarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia (MHDC) berkata, tempoh menunggu sehingga sembilan bulan bagi mendapatkan sijil halal terhadap sesuatu produk dan perkhidmatan perlu dipendekkan tanpa berkompromi terhadap kehendak syariah.

“Oleh kerana terdapat kekangan dari segi waktu didapati bahawa tempoh pengeluaran sijil halal itu tanpa mahu menyentuh soal kualiti, birokrasi ke arah pengeluaran sijil-sijil halal itu hendaklah dilakukan dengan mempercepatkan proses”

“Dengan tidak mahu menyentuh kredibiliti mana-mana pegawai daripada jabatan dan agensi kerajaan tetapi kita harus keluar daripada kepompong pemikiran dan pendekatan silo dalam perkara ini,” ujarnya pada sidang media pelancaran ‘Halal Industry Master Plan 2030 (HIMP 2023)’ di sini, hari ni.

Ujar beliau lagi, terdapat lebih 200,000 syarikat halal di negara ini, namun terdapat kekangan untuk mengeluarkan sijil tersebut.

“Terdapat lebih 200,000 syarikat-syarikat halal, tetapi untuk memperoleh sijil halal ini ada kekangannya”

“Oleh sebab itu langkah-langkah telah dilakukan termasuk pelancaran ‘Halal Industry Master Plan 2030 (HIMP 2023) bagi menerajui industri halal global,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Untuk rekod, pada 2022, industri halal menyumbang nilai eksport sebanyak RM59.46 bilion iaitu peningkatan 63.8 peratus atau RM23.16 bilion tahun sebelumnya.

Sektor makanan dan minuman penyumbang terbesar ekonomi industri halal dengan nilai eksport RM27.84 bilion tahun lalu.

Ini diikuti bahan-bahan halal (RM23.35 bilion), penjagaan peribadi dan kosmetik (RM3.49 bilion), bahan berkaitan minyak sawit (RM2.79 bilion), industri kimia (RM1.27 bilion) dan farmaseutikal (RM0.72 bilion)

Loading...
Terkini