Tumpuan :
Nasional

Proton Wira masuk ke laluan bertentangan jadi punca 6 sekeluarga maut

Keadaan kereta Proton Wira dinaiki enam mangsa yang meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kalumpang, Semporna-Tawau, dekat Semporna. – FOTO: JBPM

SEMPORNA: Kemalangan yang menyebabkan enam sekeluarga maut dan seorang lagi parah di kilometer 37 Jalan Semporna-Tawau, petang semalam berpunca daripada kereta dinaiki mangsa memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar tayar belakang sebuah pacuan empat roda.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Sobri Zainol berkata, kemalangan kira-kira jam 4.10 petang itu membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah pacuan empat roda (Pickup) jenis Isuzu D-max, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova dan kereta Proton Wira.

Beliau berkata, sebelum nahas berlaku kereta Proton Wira yang dipandu lelaki tempatan berumur 34 tahun bersama enam penumpang dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna manakala Pickup Isuzu D-Max dan MPV berkenaan dari arah Semporna ke Tawau.

FOTO: JBPM

“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu Proton Wira telah memasuki laluan bertentangan lalu melanggar tayar belakang Pickup terbabit sebelum dilanggar MPV yang berada di belakang menyebabkan ia berpusing beberapa kali sebelum terbalik.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu Proton Wira terbabit mengalami kecederaan parah manakala lima penumpang maut di lokasi kejadian dan seorang lagi dilaporkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Semporna,” katanya menerusi kenyataan di sini, lewat malam tadi.

Beliau berkata, mereka yang meninggal dunia adalah seorang wanita (umur tidak diketahui) bersama bayi lelakinya berumur lapan bulan yang juga isteri dan anak kepada pemandu Proton Wira berkenaan.

Selain itu katanya, empat lagi mangsa ialah masing-masing seorang wanita warga emas berumur 82 tahun, kanak-kanak perempuan 7 tahun, serta dua remaja lelaki berumur 15 dan 18 tahun yang kesemuanya mempunyai pertalian keluarga.

“Seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun iaitu salah seorang daripada tiga penumpang MPV mengalami kecederaan parah pada lutut kanan manakala empat lagi penumpang termasuk pemandu Pickup hanya cedera ringan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini