comscore
Tumpuan :
Nasional

PRS kemuka dua nama untuk jawatan Timbalan Menteri

KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) mengemukakan dua nama Ahli Parlimennya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dipertimbangkan ke jawatan Timbalan Menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

Dua nama wakil daripada komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodie and Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Ketua Pemuda PRS, Datuk Snowdan Lawan berkata, parti itu percaya mereka layak dilantik mewakili masyarakat pribumi Sarawak.

“PRS amat berharap mereka adalah antara yang akan disenarai pendek oleh Perdana Menteri untuk dipilih berdasarkan merit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Snowdan berkata, walaupun Doris, memenangi kerusi parlimen Sri Aman buat kali pertama, beliau berjaya menunjukkan pencapaian meyakinkan apabila meraih 14,131 undi dengan majoriti 4,039 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Menurutnya lagi, Doris yang juga Ketua Wanita PRS berpengalaman di Persekutuan bermula sejak Mac 2010 apabila dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Speaker di Dewan Negara pada 2016 selama dua penggal.

“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Premier, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

“Satu lagi kelayakan untuk mempertimbangkan pelantikannya ialah sebagai memenuhi syarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) iaitu pribumi dari Sarawak, terutamanya wanita akan mempunyai perwakilan di Persekutuan,” katanya.

Mengenai Ugak pula, Snowdan berkata, Ahli Parlimen Hulu Rajang itu cukup berpengalaman kerana mewakili kawasan itu selama tiga penggal.

“Beliau memperoleh sokongan akar umbi yang sangat kuat, juga dengan majoriti meyakinkan iaitu 7,505 undi di kerusi parlimen Hulu Rajang pada PRU-15 baru-baru ini.

“Pada April 2020, beliau mencatat sejarah apabila menjadi pemimpin Iban pertama dilantik sebagai Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH).

Pada PRU-15, 19 November lalu, PRS memenangi lima daripada enam kerusi yang ditandinginya dan merampas kembali tiga kerusi yang kalah pada pilihan raya umum sebelumnya iaitu Selangau, Lubok Antu dan Sri Aman.

Loading...
Terkini