comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15 : 1,600 pelajar UTM pulang mengundi

Shamsul bersalaman dengan pelajar yang pulang ke negeri masing-masing untuk mengundi.

JOHOR BAHRU : Seramai 1,600 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, di sini, dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof Dr Shamsul Sahibuddin berkata, 1,200 pelajar dihantar menggunakan 35 bas pada malam ini dan bakinya menaiki lapan bas, esok.

“Kita melepaskan 35 bas malam ini dan hari esok sebanyak lapan bas, keseluruhannya kita sediakan 43 bas yang akan digunakan yang mana sebahagiannya adalah bas UTM dan ada juga disewa daripada syarikat luar.

“Secara keseluruhannya, seramai 1,600 pelajar yang terbabit menggunakan perkhidmatan yang diuruskan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ini,” katanya ketika ditemui selepas proses menghantar pelajar pulang mengundi di Dataran Tasik Ilmu, UTM, Skudai di sini, malam tadi.

Beliau berkata, proses melaksanakan usaha menghantar pelajar pulang mengundi itu dibuat oleh MPP universiti sejak tiga minggu lalu bermula daripada mengumpulkan nama pelajar yang memerlukan perkhidmatan itu sehingga mendapatkan perkhidmatan bas daripada UTM sendiri dan syarikat luar.

Katanya, setiap pelajar hanya dikenakan bayaran antara RM20 hingga RM50 mengikut kepada lokasi atau negeri masing-masing.

Pada masa sama, beliau turut berterima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang membenarkan cuti khas kepada pelajar universiti bermula esok hingga Isnin.

“Bagi pihak UTM, kami sangat gembira apabila pelajar akan menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dan kami serta MPP bersedia untuk membantu mereka melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

Sementara itu, pelajar, Fatin Shahida Afiqah Shaharudin, 22, yang berasal dari Kedah berkata, inisiatif yang disediakan pihak universiti itu amat memudahkan mereka sekali gus mengurangkan perbelanjaan membeli tiket kapal terbang seperti kebiasaannya.

“Sangat memudahkan kerana saya selalu naik kapal terbang, jadi untuk ke sana memang menggunakan kos yang sangat tinggi.

“Apabila saya tahu bahawa PRU berlangsung dalam masa yang dekat, saya cemas kerana tak ada bas. Jadi, saya lega apabila pihak universiti menyediakan perkhidmatan bas ini, ia sangat membantu,” katanya yang kali pertama mengundi.

Bagi S Rakesh Kumar, 20, pula, dia agak teruja untuk pulang ke kampung halaman kerana ini adalah pengalaman pertama kalinya untuk mengundi.

“Saya berterima kasih kepada pihak UTM kerana menyediakan bas kepada pelajar memandangkan kalau hendak mencari bas dekat luar agak susah kerana semua sudah penuh.

“Bilangan pelajar yang hendak pulang mengundi juga ramai kerana mereka yang berusia 18 tahun ke atas itu rata-ratanya adalah pelajar universiti,” katanya yang berasal dari Selangor.

Pelajar yang berasal dari Pulau Pinang, Tan Wilson, 20, pula berkata, dia gembira kerana dapat pulang mengundi demi masa depan negara yang lebih baik.

Walaupun lebih selesa menggunakan kapal terbang, Tan berkata, dia tetap teruja kerana ini kali pertama dia dapat mengundi.

“Sebelum ini saya selalu naik kapal terbang kalau balik kampung, sebab kalau naik bas rasa jauh, tetapi fikirkan tiket kapal terbang mahal, tidak mengapalah naik bas saja.

“Ini kali pertama, saya sangat gembira kerana sudah boleh mengundi untuk masa hadapan kita, ekonomi juga sudah merosot sekarang, jadi kita perlu ekonomi yang sangat baik, maka undilah parti yang betul,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini