comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: 20 peratus keluar mengundi setakat 10 pagi – SPR

Orang ramai menyemak pendaftaran pemilih sebelum menunaikan tanggungjawab membuang undi bagi P 097 Parlimen Selayang di SJK(C) Selayang Baru. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) setakat 10 pagi ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berdasarkan tinjauan Bernama, proses pengundian setakat ini berjalan teratur di seluruh negara dengan setiap pengundi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan SPR, termasuk yang terbaru, setiap pengundi tidak dibenarkan membawa masuk telefon bimbit ketika mengundi.

Petugas SPR dan keselamatan juga dilihat sedia membantu pengundi di setiap pusat mengundi selain menyediakan pelbagai kemudahan secukupnya untuk melancarkan proses pengundian, termasuk kerusi roda yang digunakan pegawai SPR bagi memudahkan pergerakan warga emas dan orang kurang upaya.

SPR turut menyediakan kenderaan perantara atau ‘shuttle’ di pusat-pusat mengundi terpilih bagi memberi keselesaan kepada pengundi yang terpaksa memakir kenderaan mereka jauh dari pusat mengundi.

Proses pengundian PRU-15 bermula secara rasmi pada 7.30 pagi ini di Sabah, Sarawak dan Labuan manakala di Semenanjung Malaysia bermula 8 pagi.

Turut diadakan serentak ialah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bugaya, Sabah yang tertangguh berikutan proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan untuk PRU-15 mengandungi 21,173,638 orang pemilih yang terdiri daripada 20,853,681 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan dan 2,741 orang pengundi tidak hadir luar negara. – BERNAMA

Loading...
Terkini