comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Ahmad Idham mengundi di Ampang

Ahmad Idham mengundi di SMK Dato Ahmad Razali, Ampang, pada jam 3 petang tadi. Foto Ihsan Ahmad Idham Ahmad Nadzri

AMPANG: Calon PEJUANG kerusi Parlimen Port Dickson, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ahmad Razali di sini, pada jam 3 petang tadi.

Ahmad Idham yang juga pelakon dan pengarah teruja proses pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di SMK Dato Ahmad Razali, lancar.

“Alhamdulillah, saya sampai tadi, tidak ramai orang. Proses pengundian berlalu dengan sangat cepat,” katanya kepada BH Online.

Ahmad Idham yang bergegas ke Port Dickson bagi meninjau proses pengundian di kerusi Parlimen ditandingi, berharap usahanya memenangi hati pengundi berhasil selepas dua minggu berkempen.

Justeru, janji Ahmad Idham, jika diumumkan menang, beliau mahu terus bekerja untuk penduduk Port Dickson.

“Kalau Isnin saya boleh buat kerja, saya mahu bekerja sebab di Port Dickson ada banyak perkara tertunggak dan isu yang sudah lama tidak diselesaikan.

“Saya mahu terus bermesyuarat dengan penduduk setempat untuk memastikan segala masalah dan membentangkan gerak kerja saya.

“Jadi, saya berharap masyarakat membuat pilihan dengan pemikiran realistik dan minda yang bijak.

“Saya tahu, apabila masuk dunia politik, saya nampak kenapa selama ini saya tertipu dengan kata-kata ahli politik Malaysia.

“Orang politik pandai bermain dengan persepsi dan kata-kata di pentas ceramah. Memang meyakinkan tetapi kita kena tengok sama ada mereka melaksanakannya atau tidak.|Jadi, untuk PRU15, kena sedar ketua yang mana boleh melaksanakan kerja, bukan sekadar bercakap di atas pentas,” katanya.

Ahmad Idham turut mendoakan kemenangan buat rakan baiknya, Datuk Seri Eizlan Yusof yang turut bertanding mewakili PEJUANG di kerusi Parlimen Sabak Bernam. – Berita Harian

Loading...
Terkini