comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Ahmad Said pakai baju logo BN ketika mengundi

Ahmad dikesan memakai kemeja tertera logo BN ketika hadir mengundi di SK Teluk Kalong pagi ini. FOTO: Ahmad Said / Facebook

KUALA LUMPUR: Lagi calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berkemungkinan melanggar peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari pengundian apabila Datuk Seri Ahmad Said dilihat memakai kemeja dengan lambang Barisan Nasional (BN) ketika mengundi, hari ini.

Ketika mengundi di Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong, pagi tadi, calon BN Parlimen Kemaman itu dilihat memakai kemeja berwarna biru dengan simbol dacing.

Ia berkemungkinan melanggar Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan tiada seorangpun boleh pada hari mengundi dalam jarak 50 meter daripada sempadan mana-mana tempat mengundi memakai apa-apa bentuk atau jenis pakaian tercetak atau tertera nama calon, lambang atau simbol mana-mana parti politik.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dalam tempoh tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.

Berdasarkan gambar yang dikongsi bekas Menteri Besar Terengganu itu, beliau bersama isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud selesai menjalani proses pengundian.

Ahmad turut membantu pengundi warga emas menjalankan tanggungjawab itu dengan menolak kerusi roda miliknya.

Ahmad berdepan saingan empat penjuru di Kemaman dan dicabar penyandang Parlimen itu, Che Alias Hamid daripada Perikatan Nasional (PN), Hasuni Sudin daripada Pakatan Harapan (PH) dan Rosli Ab Ghani daripada Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

Pada PRU-14, Parlimen Kemaman dimenangi Alias daripada PAS dengan majoriti 2,163 mengalahkan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (BN) dan Mohd Huzaifah Md Suhaimi (PKR).

Terdahulu, calon PN bagi Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Kamarudin Jaffar turut didakwa melanggar peraturan SPR pada hari pengundian, hari ini.

Penyandang kerusi Parlimen itu didapati memakai lencana PN di bajunya ketika melawat pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Anggerik.

Sementara itu, badan pemantau pilihan raya Bersih turut menggesa pihak berkuasa menyiasat Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang kerana memakai rompi yang memaparkan logo parti ketika membuang undi hari ini.

Ini susulan seorang pengguna Twitter memuat naik gambar Hadi membuang undi di sebuah pusat mengundi dengan memakai pakaian yang memaparkan logo PAS. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini