comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Aisha kecewa tak dapat memilih, 6 jam tak berganjak dari pusat pengundian

Gambar kiri; Ciapan Aisha Adam selepas tidak dibenarkan mengundi kerana didakwa didaftarkan sebagai pengundi pos di Australia pada 2015. Aisha Adam memutuskan untuk tidak berganjak dari pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Setiawangsa. – Foto: Aisha Adam / Twitter

KUALA LUMPUR: Seorang pengundi, Aisha Adam memutuskan untuk tidak berganjak dari pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Setiawangsa selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkannya mengundi bagi kerusi Parlimen Setiawangsa.

Wanita berusia 36 tahun itu yang mendakwa pernah mengundi di Parlimen sama pada dua Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, mendakwa tidak dibenarkan mengundi kerana sudah didaftarkan sebagai pengundi pos.

Berikutan itu, Aisha yang sudah enam jam berada di luar pusat pengundian berkenaan, mengambil keputusan untuk tidak berganjak.

“Berhenti tanya saya soalan tidak berguna. Persoalan lebih besar ialah, adakah anda mahu beri saya mengundi atau tidak? Saya berada di sini sudah enam jam dan saya akan tetap di sini sehingga pintu ditutup.

“Apa kamu buat untuk membolehkan saya mengundi?,” katanya melalui ciapan di Twitter dan dalam temu bual dengan sebuah portal, dia memaklumkan akan terus protes di Pondok SPR SK Setiawangsa sehingga ia ditutup dan laporan polis akan dibuat kemudian.

Terdahulu dalam ciapannya, Aisha mendakwa, Pegawai Pengurus Pilihan Raya di pusat pengundian berkenaan memberitahunya bahawa dia didaftarkan sebagai pengundi pos di Australia melalui nombor telefonnya pada 2015.

Katanya, dia ke Australia untuk melanjutkan pengajian, tetapi tidak pernah memohon untuk mendaftar sebagai pengundi pos atau membuka Akaun MySPR seperti yang perlu dilakukan oleh pengundi pos. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini