comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Anak didik tewaskan Azmin Ali di Gombak

Amirudin Shari selepas mengalahkan calon Perikatan Nasional Datuk Seri Azmin Ali dengan majoriti 12,729 untuk Parlimen Gombak di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gombak yang disandang sejak 2004 apabila kecundang di tangan anak didiknya Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Dalam pertembungan lima penjuru kerusi itu, Amirudin (PH-PKR) memperoleh 72,267 undi dengan majoriti 12,729 undi, manakala Azmin (PN-Bersatu) mendapat 59,538 undi, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN-Umno) meraih 30,723 undi, Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir (GTA-Pejuang) mendapat 2,223 undi dan Zulkifli Ahmad (Bebas) menerima 675 undi.

Kemenangan Amirudin itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Gombak Nor Azlina Abd Aziz di pusat penjumlahan undi di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu di sini.

Pengumuman rasmi itu dibuat pada 3.40 pagi susulan dakwaan terdapatnya bantahan daripada pihak Azmin, yang menyebabkan petugas SPR membuat semakan semula keputusan terbabit.

Ketika ditemui pemberita kemudian, Amirudin, yang hadir bersama-sama penyokongnya pada 1.35 pagi ini, menzahirkan kesyukuran atas kemenangan sebagai wakil rakyat baharu di Gombak.

“Ini satu pengalaman yang amat bermakna kepada saya dan sudah pastinya bagi PH,” katanya.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat itu turut berterima kasih kepada semua pengundi yang membantu mengekalkan penguasaan PH.

Pada PRU-14, Mohamed Azmin yang bertanding atas tiket PKR, menang dengan majoriti 48,721 selepas menewaskan calon BN Datuk Abdul Rahim Kamarudin dan calon PAS Ir Khairil Nizam. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini