comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: B40 paling terkesan dengan ketidakstabilan politik dan ekonomi

Nur Rafidah Daud berkongsi harapan agar anaknya akan dapat meneruskan pengajian ke institut pengajian tinggi

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

SUNGAI PETANI: Golongan B40 antara yang paling terkesan dengan peningkatan kos sara hidup ekoran kegawatan ekonomi serta ketidakstabilan politik negara.

Malah ada antara mereka yang tidak mampu untuk menampung kos pengajian anak dan terpaksa menguburkan impian itu.

Nur Rafidah Daud, seorang suri rumah sepenuh masa yang bergantung harap pada hasil jualan getah yang untung sabut timbul untung batu tenggelam sempat meluahkan perasaannya membesarkan anak kepada wartawan Buletin TV3.

“Cikgu anak saya cakap, SPM anak saya bagus dan boleh meneruskan pengajian ke universiti.

“Tapi keluarga kami tak mampu untuk tanggung kos pengajian kerana kebetulan pada ketika itu, ayah (suaminya) sakit saraf dan tidak dapat bekerja.

“Jadi anak saya pun tidak dapat meneruskan pengajian dan terpaksa berhenti bagi meringankan beban keluarga,” adunya kepada Buletin TV3.

Tambah Rafidah, kesusahan yang dialami itu memaksa keluarganya mencatu makanan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya kalau masak ikan 3 ekor, saya akan potong kepada dua bahagian, jadinya cukuplah untuk kami sekeluarga makan,” katanya.

Lain pula kisah Zaitun Mohamad @ Zukhi, seorang suri rumah yang mempunyai 5 orang anak dengan pendapatan tidak lebih RM1,500 sebulan.

Pendakian bukit menuju ke rumah Zaitun yang perlu melalui jalan tanah merah

“Salah seorang anak saya adalah pesakit scoliosis yang sakit tulang belakang tu, saya pula pengidap penyakit asma.

“Baru-baru ni saya jatuh ketika menunggang motorsikal sebaik sahaja keluar dari rumah kerana jalan licin,” katanya.

Mana tidaknya, kediaman yang disewa mereka mengambil masa kira-kira 10 minit pendakian dengan permukaan jalan yang sangat tidak mesra.

Mereka tiada pilihan lain selain tinggal di kediaman usang itu kerana ia paling murah untuk disewa.

Turut berkongsi kisah yang mampu mengalirkan air mata, keluarga Md Noor yang bergantung harap pada hasil memotong rumput.

Keluarga Md Noor berharap kerajaan yang memerintah selepas ini menunaikan jani membantu golongan B40

“Saya harap kerajaan yang akan naik nanti, menunaikan janji pandang orang bawah seperti kami yang tak mampu ni.

“Bukan saya seorang sahaja yang memerlukan, malah semua golongan B40 macam kami ni,” katanya.

Semalam, Presiden Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah melancarkan manifesto Pelan Amal dan Usaha (PADU) yang menjadi akujanji parti itu kepada rakyat Malaysia.

Justeru, manifesto berkenaan dilihat mampu merealisasikan matlamat malaysia sifar miskin tegar menjelang akhir 2025

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu, berkata PADU akan melaksanakan revolusi besar dalam sistem pengagihan bantuan di seluruh negara dengan memperkenalkan skim bantuan pendapatan asas.

Loading...
Terkini