comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Pengundian di Sabah lancar

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengundi di SK Bubul, Semporna.

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Sabah berjalan lancar setakat ini dengan rata-rata pemimpin utama di negeri ini selesai menunaikan tanggungjawab mereka.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah, peratusan keluar mengundi setakat 1 tengah hari ini adalah 46 peratus.

Sementara itu, beberapa pemimpin utama parti di Sabah selesai mengundi di beberapa pusat mengundi seluruh negeri itu yang dibuka seawal jam 7.30 pagi tadi.

Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengundi jam 2.16 petang di Sekolah Kebangsaan (SK) Serusup, Tuaran.

Beliau ditemani isteri, Datin Seri Juliah Salag turut mengundi di pusat pengundian berkenaan.

Datuk Seri Hajiji Noor mengundi di SK Serusup, Tuaran, Sabah

Turut menunaikan tanggungjawab, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengundi di Sekolah Menengah (SMK) Bukit Garam, Kinabatangan jam 12.40 tengah hari.

Beliau yang juga calon BN bagi Parlimen Kinabatangan iaitu satu-satunya kawasan parlimen di Sabah menyaksikan perlawanan satu lawan satu yang dicabar calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek.

Datuk Seri Bung Moktar Radin mengundi di SMK Bukit Garam, Kinabatangan, Sabah

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal antara pemimpin terawal menunaikan tanggungjawab mengundi kira-kira jam 8.15 pagi di SK Bubul, Semporna.

Beliau yang juga calon Warisan bagi Parlimen Semporna berdepan saingan empat penjuru yang ditentang calon Pakatan Harapan (PH), Arastam Pandarog, Nixon Abdul Habi (GRS), dan Ab Rajik Ab Hamid (Pejuang).

 

 

Loading...
Terkini