comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Berbaju sekolah pergi mengundi

Tiga sahabat berpakaian seragam sekolah ketika mengundi di SK Palong Tiga, hari ini. Foto: NSTP/ Abnor Hamizam Abd Manap

JEMPOL: Tiga sahabat sepakat berpakaian baju sekolah ketika mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Palong Tiga, di sini hari ini.

Roslina Janian, 42, Faridah Jaffar, 35, dan Murni Hasan, 37, yang juga anak FELDA Palong 3 melaksanakan tanggungjawab itu pada jam 9 hingga 10 pagi tadi.

Roslina berkata, mereka memilih untuk memakai pakaian sekolah berikutan tempat mengundi dijalankan di sekolah.

“Kami sepakat untuk memakai pakaian pelajar sekolah menengah dan idea ini tercetus secara tiba-tiba pada malam tadi dan dimaklumkan tidak salah memakai pakaian berkenaan dan kami mahu membuat sedikit kelainan bagi memeriahkan suasana pengundian.

“Selain itu, ia sebagai simbolik berikutan anak muda berusia 18 tahun sudah boleh mengundi, sekali gus mengajak mereka menunaikan tanggungjawab kepada negara,” katanya hari ini.

Bagi Faridah, pada awalnya dia agak malu untuk memakai pakaian sekolah berikutan sudah lama meninggalkan alam persekolahan.

“Saya dan rakan hanya memakai baju sekolah anak sahaja, malah anak-anak turut teruja apabila ibunya memakai pakaian sekolah, selain ia turut mengingatkan nostalgia ketika bersekolah.

“Mujur juga baju sekolah anak muat dipakai. Tindakan kami berpakaian baju sekolah turut menjadi tumpuan ketika hadir ke pusat pengundian,” katanya.

Sementara itu, Murni berkata, memakai baju sekolah akan menjadi akan menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan pada PRU-15 ini.

“Kami bertiga hadir mengundi pada waktu pagi berikutan cuaca baik dan tidak mahu terlepas peluang untuk mengundi,” katanya.

Pada PRU-15 ini, kerusi Parlimen Jempol berdepan dengan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Shamshulkahar Mohd Deli, Noraffendy Salleh (Perikatan Nasional), Norwani Ahmat (Pakatan Harapan) dan Tan Sri Mohd Khalid Yunus mewakili PEJUANG. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini