comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Berbusana tradisional ketika mengundi

Mohd Khairul lengkap berpakaian tradisional Melayu memasukkan kertas undi ketika mengundi di SK Putrajaya Presint 17(1) hari ini.

PUTRAJAYA: Hasrat seorang pemuda mengangkat busana tradisional Melayu pada hari pengundian, tercapai apabila kehadirannya yang memakai busana warisan itu, menarik perhatian orang ramai di pusat mengundi Parlimen Putrajaya di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 17(1) di sini, hari ini.

Mohd Khairul Nizam Hosnas, 39, berkata, dia sudah lama menyimpan hasrat memakai busana tradisional Melayu pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan ia dapat direalisasikan pada PRU ke-15 hari ini.

“Sudah lama saya impikan untuk berbusana tradisional penuh pada hari penting seperti ini memandangkan hari ini (PRU-15) adalah satu keraian besar.

“Apabila ramai orang di tempat pengundian, secara tidak langsung dapat mempromosikan pakaian tradisional Melayu kita,” katanya kepada pemberita di SK Putrajaya Presint 17(1) di sini hari ini.

Beliau berkata, tanjak yang dipakai kali ini adalah jenis ‘solok timbo’ dari Negeri Sembilan.

Sementara itu, pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Aman, George Town pula teruja dengan kehadiran adiwira “Captain America” yang datang menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi di Parlimen Bukit Gelugor.

Muhd Shahrizal Mat Saheat, 35, berkata dia memakai kostum komik “Marvel’ itu bagi menghidupkan suasana selain menyemarakkan semangat mengundi yang hadir ke pusat pengundian berkenaan.

“Motif utama saya berpakaian seperti ini adalah untuk membawa semangat kepada orang ramai terutamanya anak muda yang pertama kali mengundi untuk masa depan negara.

“Saya gembira apabila boleh membawa kegembiraan kepada pengundi serta petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini, ” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang bekerja sendiri membelanjakan RM200 untuk membeli kostum tersebut secara dalam talian.

Tahun lalu, Muhd Shahrizal menceriakan suasana di pusat pemberian vaksin (PPV) di Spice Arena dengan pakai adiwira yang sama. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini