comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Bot percuma bawa pengundi ke Pulau Gaya

Bot penambang percuma disediakan kepada pengundi berdaftar pusat daerah mengundi Pulau Gaya, P.173 Parlimen Putatan sempena hari pengundian PRU-15.

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Bot penambang percuma disediakan kepada 4,117 pengundi berdaftar pusat daerah mengundi Pulau Gaya, P.173 Parlimen Putatan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiap parti bertanding menyediakan khidmat bot penumpang percuma kepada pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya yang dibuka seawal jam 7.30 pagi dan dijadual ditutup jam 4.00 petang.

Seawal jam 7.00 pagi lagi pengundi yang menetap di luar kawasan Pulau Gaya sudah memenuhi Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu untuk ke Jeti SMK Pulau Gaya yang mengambil masa kira-kira 10 minit perjalanan.

Ketua Kampung Pulau Gaya, Rajit Serong berkata kebanyakan pengundi Pulau Gaya berhijrah di sekitar Kota Kinabalu.

“Ada yang tinggal di Telipok, Tuaran, Sembulan, Tanjung Aru, Petagas dan Numbak. Perkhidmatan ini adalah kelaziman setiap kali hari mengundi Pilihan Raya bagi memudahkan pengundi untuk keluar mengundi.” katanya ketika ditemui di Jeti SMK Pulau Gaya.

Seorang pengundi, Khatijah Akino berkata jika terpaksa membayar TAMBANG sekalipun bernilai RM6.00 pergi dan balik dari Jeti Pasar Besar ke jeti pusat mengundi, beliau tetap akan keluar mengundi kerana ia sudah menjadi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Bot penambang percuma disediakan kepada pengundi berdaftar pusat daerah mengundi Pulau Gaya, P.173 Parlimen Putatan sempena hari pengundian PRU-15.

“Saya tiba di Jeti Pasar Besar jam 7.30 pagi rasanya tiada alasan untuk tidak keluar mengundi sebab bot sentiasa ada sepanjang tempoh hari mengundi berlangsung hari ini, ” katanya yang berniaga dan tinggal di Kota Kinabalu.

Selain perjalanan antara Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu dan Jeti SMK Pulau Gaya, perkhidmatan bot percuma ini juga bergerak antara Pulau Lok Urai, Pasir Putih, Pondo dan Pulau Gaya.

Pusat mengundi SMK Pulau Gaya melibatkan tujuh saluran mengundi membabitkan 4,117 pengundi berdaftar.

Kesemua hasil kiraan peti undi akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) P.173 Putatan, Dewan Sri Putatan.

P.173 Parlimen Putatan menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan penyandangnya, Awang Husaini Datuk Sahari dari Pakatan Harapan (PH) , Datuk Shahelmy Yahya (BN), Poyne Tudus Patrick Payne (Pejuang), dan Ahmad Mohd Said (Warisan).

Secara keseluruahn sejumlah 13 bahagian pusat mengundi membabitkan sembilan kawasan parlimen memerlukan penggunaan bot bagi memudahkan proses mengundi iaitu di bahagian Banggi bagi Parlimen Kudat; Usukan, (Kota Belud); Tanjung. Aru (Putatan) Sugut, Labuk (Beluran); Gum-Gum, Sungai Sibuga (Libaran); Sekong (Batu Sapi); Sukau, Tungku (Kinabatangan); Sulabayan, Senallang (Semporna); dan Sebatik (Kalabakan).

Sejumlah 1.6 juta pengundi berdaftar di Sabah menjalankan tanggungjawab membuang undi hari ini membabitkan 907 pusat mengundi.

Loading...
Terkini