comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Cacat penglihatan bukan penghalang keluar mengundi

Nurul Fadzlina (kanan) hadir dengan ditemani anak sulungnya, Nur Auni Qistina ketika mengundi di Dewan Dato Ahmad Razali, pagi tadi. – Foto NSTP

AMPANG: Kecacatan penglihatan tidak menghalang Nurul Fadzlina James, berusaha menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.

Ibu tunggal berusia 45 tahun itu, hadir dengan ditemani anak sulungnya, Nur Auni Qistina Azri, 18, ketika mengundi di Dewan Dato Ahmad Razali di sini, jam 10 pagi tadi.

“Ini adalah kali ketiga saya mengundi dan kali pertama ditemani anak kerana sebelum ini rakan yang bawa.

“Anak saya tidak berpeluang mengundi pada PRU ini kerana usia belum cukup 18 tahun kerana lahir pada bulan Disember. Dia hanya menemani saya untuk merasai suasana mengundi di sini,” katanya.

Nurul Fadzlina yang berasal dari Tambunan, Sabah, tetapi menetap di Ampang sejak 2010, bersyukur kerana kemudahan yang disediakan untuk golongan kurang upaya sepertinya untuk mengundi.

Sementara itu, bekas Pengarang Berita BH, Datuk Dr Nordin Mohamed, 78, turut teruja ketika ditemui hadir bersama isterinya, Datin Siti Khadijah Abdul Rahman, 73, untuk mengundi di Dewan Orang Ramai Datuk Ahmad Razali di sini.

Nordin yang pernah menjadi wartawan selama 35 tahun sejak 1963 hingga bersara pada 2000, berharap rakyat Malaysia memilih pemimpin yang bukan saja pandai bercakap tapi juga yang menunaikan janji dalam melaksanakan tugasnya.

“Kita kena pilih orang yang bukan saja boleh bercakap sebab zaman sekarang ramai yang pandai bercakap dan kalau nak diikutkan, budak lepasan SPM pun sudah pandai bercakap. Jadi cari orang yang juga pandai melaksanakan kerja mereka,” katanya. – Berita Harian

Loading...
Terkini