comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Cedera pada kaki bukan halangan Nafiez buang undi

Nafiez Zaidi

KUALA LUMPUR: Berkaki tempang bukan halangan pelakon Nafiez Zaidi melaksanakan tanggungjawab untuk membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Raja Syed Alwi, Kangar, Perlis pada jam 10 pagi tadi.

Nafiez ketika dihubungi berkata, hampir seminggu dia sukar untuk berjalan apabila kaki kanannya disahkan mengalami jangkitan bakteria atau dikenali ‘abscess’.

“Sudah hampir seminggu saya menanggung kesakitan di bahagian kaki kanan selepas terdapat benjolan di betis.

“Ketika mengunjungi sebuah klinik di Seri Kembangan, Selangor minggu lalu, doktor maklumkan saya mengalami bisul dan semuanya akan kembali baik dalam waktu singkat.

“Tapi selepas pulang ke Perlis untuk mengundi Khamis lalu, saya dapati nanah pada bahagian benjolan itu semakin teruk walaupun doktor sudah menjahit bahagian nanah yang dibersihkan selepas beberapa hari rawatan di klinik berkenaan.

“Bagaimanapun ketika saya berjumpa doktor panel di Perlis, doktor berkenaan mendapati masalah saya bukan berpunca daripada bisul, sebaliknya terdapat jangkitan bakteria,” katanya.

Menurut Nafiez, sekiranya kaki kanannya masih tidak beransur pulih dia akan mendapatkan rawatan di hospital untuk melakukan pembedahan.

“Buat masa ini doktor di sini hanya beri saya ubat antibiotik yang berdos tinggi untuk merawat masalah ini tapi malangnya keadaan masih sama.

“Kaki saya semakin membengkak daripada bahagian lutut ke bawah. Sekiranya masih tidak baik saya akan ke hospital untuk melakukan pembedahan bagi membersihkan kuman yang ada,” katanya. – Harian Metro

Loading...
Terkini