comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Cemas tak jumpa kad pengenalan

Willie (kanan) dan Chooi Ling selesai mengundi. – Foto: Melvin Joni

PADAWAN: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Willie Mongin berdepan detik cemas ketika hendak mengundi apabila kad pengenalannya tiba-tiba hilang.

Beliau bersama isteri Datin Yee Chooi Ling tiba di Pusat Daerah Mengundi (PDM) SJK (C) Chung Hua Batu 15, Jalan Penrissen, di sini, 8.24 pagi tadi.

Namun ketika hendak masuk mengundi, Willie kelihatan mundar- mandir dan membelek begnya sambil menghubungi seseorang untuk mencari kad pengenalannya.

Bagaimanapun selang beberapa minit kemudian, beliau akhirnya menjumpai kad pengenalannya dan kemudian terus mengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) SJK (C) Chung Hua Batu 15.

Ketika ditemui, Willie berkata, kad pengenalannya terselit antara kertas di dalam begnya.

“Semasa penamaan calon, saya letakkan dalam beg dan diselindungi oleh kertas. Saya sedikit panik,” katanya.

Sementara, pengundi di sekitar Kampung Bratan mula membanjiri perkarangan PDM seawal jam 7 pagi.PDM SJK (C) Chung Hua Batu 15, Jalan Penrissen mempunyai dua saluran mengundi, dibuka 7.30 pagi sehingga 4 petang.

Parlimen Puncak Borneo mempunyai 87 PDM, 22 PDM di Serembu, 32 PDM di Mambong dan 33 PDM di Tarat.

Jumlah keseluruhan pengundi bagi Parlimen Puncak Borneo seramai 79,969 orang terdiri 79,150 pengundi biasa, 817 pengundi terdiri daripada polis dan pasangan dan dua orang pengundi luar negara.

Parlimen Puncak Borneo menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Willie, calon Pakatan Harapan (PH) Diog Dios dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) Iana Akam. – Harian Metro

Loading...
Terkini