comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Covid-19, tak perlu SOP khas kempen – Khairy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

KOTA DAMANSARA: Tiada keperluan untuk mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) khas COVID-19 sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 walaupun kes COVID-19 ketika ini mencatatkan peningkatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ia berikutan SOP dan langkah pencegahan dan pengurusan COVID-19 sedia ada yang digariskan kementerian, sudah mencukupi untuk berdepan dengan skala penularan jangkitan semasa.

Justeru, beliau menegaskan, semua parti yang bertanding perlu sentiasa berhati-hati dan melaksanakan amalan pencegahan penularan yang sebelum ini telah digalakkan khususnya pemakaian pelitup muka.

Jelasnya, negara telah pun berada pada fasa peralihan ke endemik yang mana kerajaan melaksanakan pelbagai langkah, termasuk pemberian vaksin COVID-19 sebelum ini untuk memastikan rakyat dapat mencegah diri daripada dijangkiti virus berkenaan.

“Kita ada semua untuk tangani COVID-19 sekarang. Kalau dulu mungkin tidak ada. Jadi kita boleh hadapinya hanya perlu berwaspada.

“Jadi tidak perlu SOP khusus kempen sebab saya sudah janji kepada semua parti politik kita kempen macam biasa tapi berhati-hati dan peka kepada persekitaran,” katanya kepada pemberita ketika ditemui beriadah di Taman Rimba Riang, Seksyen 9, di sini, bersama pengundi.

Beliau ditanya mengenai peningkatan kes harian COVID-19 yang mencecah 4,621 semalam berbanding 2,090 pada 13 Oktober lalu, peningkatan lebih 120 peratus dalam tempoh 24 hari. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini