comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Dilarang pakai baju, pelitup muka ada simbol parti – SPR

FOTO: NSTP

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Semua pihak yang ingin memasuki pusat mengundi pada hari mengundi esok bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah diingatkan supaya tidak memakai baju, topi atau pelitup separuh muka yang mempunyai nama, lambang, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi, calon dan petugas juga tidak dibenarkan membawa material atau apa-apa bahan kempen serta sebarang ‘tagline’ atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi atau melanggari peruntukan yang ditetapkan boleh dihalang dari memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam. Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua yang terlibat dan hadir pada hari mengundi turut disarankan untuk memakai pelitup separuh muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa sanitasi tangan sepanjang berada di pusat mengundi.

Selain itu, SPR mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada jam 11.59 minit malam ini.

Selepas tempoh itu berakhir, sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi perlu dihentikan.

“Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

“SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Loading...
Terkini