comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Dua petugas KKM di setiap pusat pengundian

Petugas KKM (kiri) membantu pengundi positif COVID-19 di Ampang. – Foto: NSTP

SUNGAI BULOH: Kementerian Kesihatan (KKM) menempatkan dua petugasnya di setiap pusat pengundian di negara ini bagi melancarkan proses pengundian individu positif COVID-19 ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun bagi pusat pengundian yang kecil pihaknya menempatkan hanya seorang pegawai KKM bagi memantau situasi COVID-19.

“Setiap pusat pengundian, KKM letak sekurang-kurangnya dua pegawai, mungkin yang kecil (pusat pengundian) kita letak seorang. Setakat ini makluman yang diterima proses pengundian (individu positif COVID-19) berjalan lancar.

“Ada kenalan saya yang positif COVID-19 juga maklumkan kepada saya yang prosesnya mudah, hanya tunjukkan status MySejahtera (kepada pegawai KKM) dan kemudiannya terus dibawa masuk ke tempat mengundi dan boleh terus balik,” katanya kepada pemberita.

Khairy yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh ditemui selepas melakukan tinjauan proses pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7, Kota Damansara, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pengundi di sekolah berkenaan, bekas Ahli Parlimen Rembau itu memaklumkan setakat ini terdapat 10 individu positif COVID-19 yang mengundi bagi kawasan Parlimen berkenaan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini