comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Eizlan sudah buat yang terdaya

Eizlan bertanding empat penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Kalam Sahlan; calon Pakatan Harapan (PH), Shamsul Ma’arif Ismail dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abd Rahman Bakri.

Kuala Lumpur: Pelakon yang juga calon Parlimen Sabak Bernam dari parti Pejuang, Datuk Seri Eizlan Yusof menyerahkan segala keputusan undian kepada Allah.

Eizlan berkata, dia sudah melakukan yang termampu dengan kapasiti yang ada.Menurutnya, dia berjaya menyelami pelbagai isu yang dialami penduduk tempatan dan ada antaranya berjaya diselesaikan.

“Selama dua minggu berkampung dan menyantuni pengundi tempatan, hampir semua isu yang dibangkitkan rakyat sudah didengari, malah ada yang diselesaikan terus dengan bantuan PBT (Pihak Berkuasa Tempatan).

“Niat saya tetap sama, andai ada rezeki, saya akan terus buat kerja tapi andai tiada rezeki sekali pun, saya akan tetap bekerja untuk masyarakat Sabak Bernam atas kapasiti NGO (Badan Bukan Kerajaan),” katanya.

Pagi hari ini, Eizlan hadir ke beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) untuk bertemu pengundi sebelum bertolak ke Kuala Lumpur untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi di Setiawangsa.

Selepas itu, dia akan kembali semula ke Sabak Bernam untuk keputusan akhir yang akan diumumkan di Dewan Tun Razak Sabak Bernam, malam ini. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini