comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Hajiji yakin GRS-BN menang besar

Hajiji Noor dan Juliah menunjukkan jari selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Serusop, Tuaran, petang ini. – Foto: NSTP/JOHARY INDAN

TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) mampu memenangi banyak kerusi di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Keyakinan itu berdasarkan sokongan serta kepercayaan yang baik ditunjukkan penduduk negeri ini terhadap gabungan berkenaan pada pilihan raya umum kali ini.

“Berdasarkan sokongan serta sambutan penduduk negeri ini kepada GRS dan BN sepanjang tempoh kempen PRU-15 saya yakin kemenangan besar akan berpihak kepada kita.

“Rakyat Sabah perlu sedar kemenangan untuk GRS dan BN penting bagi membolehkan penubuhan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil di peringkat Persekutuan,” katanya selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Serusop, di sini, petang ini.

Turut mengundi di pusat sama isterinya, Datuk Juliah Salag dan Calon BN Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata, suara rakyat Sabah dan Sarawak perlu didengar oleh mana-mana kerajaan yang bakal dibentuk selepas PRU-15.

“Sabah dan Sarawak tidak boleh dipinggirkan oleh Kerajaan Persekutuan, kerana dua negeri ini adalah sebahagian daripada negara ini.

“Sehubungan itu saya berharap sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh dapat dibentuk oleh mana-mana parti politik yang menang dengan majoriti pada PRU-15,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini