comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Ibu mengandung hidap COVID-19, demam tetap hadir mengundi

Orang ramai beratur untuk mengundi di Dewan Orang Ramai Taman Saga pada PRU-15, hari ini. – Foto: NSTP

AMPANG: Seorang ibu mengandung sanggup memandu kira-kira sejam ke pusat mengundi Dewan Orang Ramai Taman Saga, di sini, demi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), hari ini, walaupun sedang demam agak tinggi kerana dijangkiti COVID-19.

Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Pattern Lee, 38, berkata beliau keluar dari rumahnya di Sepang seawal jam 6 pagi untuk ke pusat mengundi kerana tidak boleh berkongsi kenderaan dengan orang lain berikutan positif virus itu sejak tiga hari lalu.

“Ini adalah kali pertama saya dijangkiti COVID-19 dan sedang mengalami demam agak tinggi. Namun selagi mampu bergerak dan menjaga diri, saya tetap akan menunaikan tanggungjawab mengundi kerana ia sangat penting untuk masa depan kita semua,” katanya yang sedang hamil anak pertama dengan kandungan sudah masuk minggu ke-18.

Pattern yang akan memilih wakil rakyat untuk Parlimen Pandan berkata, sebagai pengundi positif COVID-19, beliau sentiasa memastikan dirinya mematuhi peraturan ditetapkan termasuk memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Sebelum ini, media melaporkan individu positif COVID-19 yang akan mengundi pada PRU-15, wajib memakai pelitup muka, manakala pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain sangat digalakkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dipetik berkata pengundi positif COVID-19 juga tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam, termasuk e-hailing. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini