comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Jurey selesai mengundi di SK Lenggong

Jurey selesai membuang undi di SK Lenggong, pagi ini. – Foto: Ihsan Jurey Latiff Rosli

KUALA LUMPUR: Calon Parlimen Lenggong, Perak, Datuk Jurey Latiff Rosli, 56, yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15, selamat membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Lenggong, jam 9.30 pagi tadi.

Jurey yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, peratusan mengundi di kawasan Lenggong sangat tinggi, apatah lagi dengan kepulangan kira-kira 16,000 perantau pulang ke kampung halaman untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

“Walaupun di sini kubu kuat Barisan Nasional (BN), tetapi kita mengharapkan sokongan 16,000 anak perantau yang pulang pada hari ini untuk mengundi.

“Daripada pertemuan dengan pengundi berbangsa Cina, mereka menyatakan akan memberi sokongan kepada parti kami. Insya-Allah, saya berharap ia akan memberikan berita baik,” katanya kepada BH Online.

Parlimen Lenggong menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PKR, BN dan Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) yang juga pengarah itu berjanji ingin membawa perubahan demi kemajuan dan kestabilan ekonomi selepas tiada perubahan dibawakan, biarpun selepas tiga penggal Parlimen Lenggong dikuasai parti BN.

“Sebagai anak jati Lenggong, saya melihat tiada perubahan dibuat BN selepas tiga penggal memerintah.

“Majoriti penduduk Lenggong bekerja sebagai penoreh getah, nelayan dan melakukan kerja kampung.

“Ramai mengeluh harga getah semakin menurun, manakala harga barang meningkat akibat inflasi setiap kali saya bertemu dengan masyarakat setempat,” katanya yang merancang membina studio perfileman dan menjadikan Tasik Raban sebagai pasar terapung seperti Thailand. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini