comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Kerajaan campuran jadi penyelesaian?

Foto hiasan

PETALING JAYA : Keputusan Pilihan Raya Umum ke 15, (PRU-15) yang berakhir semalam menyaksikan Barisan Nasional mengalami kekalahan teruk, manakala Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) menang besar tetapi gagal mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

Keputusan tidak rasmi membayangkan PH dan PN terpaksa mencari sekutu dengan parti-parti seperti BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk sebuah kerajaan campuran seperti mana sebelum Parlimen dibubarkan.

Setakat jam 3.10 pagi, PH memenangi kerusi parlimen paling banyak dengan 76 kerusi, diikuti rapat dengan PN (71) manakala BN hanya mampu meraih 30 kerusi. Manakala GPS meraih 22 kerusi dan GRS, 6 kerusi.

Majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan ialah 112 kerusi parlimen.

Sehingga laporan ini disiarkan, belum ada tanda jelas, gabungan mana yang akan memuktamadkan kerjasama sesame mereka bagi membolehkan perdana menteri baharu dilantik menerusi pembentukan sebuah kerajaan campuran.

PRU-15 juga mencatat kejutan apabila dua ikon politik tanah air tewas. Tun Dr Mahathir Mohamad gagal mempertahankan kerusi Langkawi, malah hilang deposit. Kekalahan atas tiket PEJUANG itu sekali gus dilihat melabuh tirai kepada kerjaya politik Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri dua kali.

Selain Dr Mahathir, anaknya Mukriz juga hilang deposit di Jerlun, bersama ramai lagi calon Pejuang, isyarat jelas bahawa Pejuang dan Gerakan Tanah Air yang ditubuhkan Dr Mahathir di tolak rakyat manakala karismanya menarik sokongan kaum Melayu makin pudar.

Turut mengejutkan, kekalahan Tengku Razaleigh Hamzah di Gua Musang setelah menyandang kerusi itu lebih 55 tahun untuk BN. Beliau tewas tipis 163 undi kepada calon PAS Mohd Azizi Abu Naim.

Skala kekalahan BN pada PRU-15 sememangnya tidak dijangkakan.

Selain kalah teruk di peringkat Parlimen, kerajaan BN juga tumbang di Perlis dan Perak, dan kekal berkuasa di Pahang dengan hanya majoriti satu kerusi.

Beberapa pemimpin utama Umno berjaya mengekalkan kerusi mereka termasuk presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menang di Bagan Datuk dengan majoriti tipis 348 (tidak rasmi)

Manakala Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden UMNO, menang selesa di Bera dengan majoriti 16,695 undi.

Di Titiwangsa, bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abd Ghani menawan semula kerusi parlimen itu dengan majoriti 4,632 selepas memperoleh 25,042 undi. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang tewas pada 2018, berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Tinggi selepas memperoleh 25,410 undi.

Namun kejayaan itu disuramkan dengan kekalahan di kerusi-kerusi tradisi BN seperti Ketereh, Tanjong Karang, Padang Terap dan Gua Musang dan Baling.

Kebanyakkan kekalahan BN, khususnya yang melibatkan UMNO, adalah di tangan Bersatu dan PAS yang menjadi tonggak utama PN.

PAS menawan 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan di Terengganu manakala PN turut meraih kejayaan besar di Perlis, Kedah, dan Perak.

PH menepati ramalan dengan memenangi jumlah kerusi parlimen paling tinggi, khususnya dengan menawan semula beberapa kerusi daripada bekas pemimpin PKR yang keluar parti pada tahun 2020.

Antara lain, PH menawan semua kerusi Gombak daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali manakala presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menang di Tambun sementara isterinya menawan semula kerusi Bandar Tun Razak atas tiket PKR.

Bagaimanapun anak mereka, Nurul Izzah kecundang di Permatang Pauh kepada PN, sekali gus menamatkan legasi penguasaan keluarga Anwar atas kerusi itu yang menjangkau lebih 40 tahun.

Meskipun menang besar, PH gagal memperbaiki rekod kemenangan 121 kerusi pada PRU-14 dan mempunyai misi sukar mencari rakan sekutu untuk menubuhkan kerajaan pusat berdasarkan rekod lampaunya.

Sebaliknya PN dilihat mempunyai opsyen lebih baik untuk memperolehi kerjasama dengan GRS dan GPS, malah dijangka mendapat sokongan daripada kalangan pemimpin UMNO-BN sendiri.

Pada sidang media di Pejabat Agung PAS malam tadi, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yakin PN dapat membentuk Kerajaan Pusat berdasarkan keputusan awal PRU-15.

Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan rakan-rakan PN untuk membentuk kerajaan dan Kabinet yang bakal diterajui mereka secepat mungkin.

“Kemenangan ini adalah hasil kerjasama antara ahli-ahli dan rakan-rakan dalam PN yang bekerja keras sejak awal lagi. Kami merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang beri kepercayaan kepada PN dan Perikatan Nasional (PN) sekali lagi. “Kami sedaya upaya mungkin untuk melaksanakan tawaran dijanjikan dan meneruskan Agenda Sejahtera Induk Negara 2021.”

Sementara itu, di Kuching, Sarawak, premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pihaknya belum menerima sebarang panggilan daripada mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan persekutuan.

“Saya sedang menunggu tetapi tiada lagi panggilan yang diterima,” katanya kepada pemberita.

Mungkin hari ini beliau menerima panggilan yang dimaksudkannya?

Loading...
Terkini